SOLSKJAER mengakui pasukannya bermula sangat perlahan ketika tumpas 0-1 kepada West Ham dalam saingan Piala Liga. FOTO AFP
SOLSKJAER mengakui pasukannya bermula sangat perlahan ketika tumpas 0-1 kepada West Ham dalam saingan Piala Liga. FOTO AFP
AFP

Manchester: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengkritik pasukannya selepas tersingkir dari saingan Piala Liga apabila tumpas di tangan West Ham 0-1 di laman sendiri.

Solskjaer melakukan 11 rombakan dan rakan sejawatnya di West Ham pula membuat 10 perubahan daripada pasukan yang berentap tiga hari lalu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan United berjaya mencatat kemenangan 2-1.

Bagaimanapun, West Ham dilihat memiliki kelebihan dalam perlawanan awal pagi tadi berbanding United.

Ryan Fredericks berjaya melepasi Alex Telles dan melakukan hantaran kepada Manuel Lanzini sebelum pemain kelahiran Argentina itu merembat masuk menumpaskan penjaga gol United, Dean Henderson pada minit kesembilan.

Gol berkenaan sudah cukup buat Moyes untuk meraih kemenangan pertama ke atas United sejak beliau dipecat mengemudi bekas kelabnya itu tidak sampai semusim pada 2014.

Ia juga adalah kejayaan pertama West Ham di Old Trafford sejak 2007 dan akan beraksi dalam 16 terakhir selepas ini berdepan Manchester City.

"Satu lagi permulaan yang perlahan dan perkara ini harus diperkemaskan. Saya sebenarnya tidak pernah memenangi kejohanan ini, jadi pemburuannya akan diteruskan.

"Bagaimanapun, kami harus membuat keputusan untuk memilik skuad yang lebih pantas sepanjang musim ini. Adakalanya anda harus mengambil risiko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 8:39 AM