STUART mengakui KBS dilihat cukup serius untuk meraih segera kelulusan berkenaan daripada MKN. FOTO OWEE AH CHUN
STUART mengakui KBS dilihat cukup serius untuk meraih segera kelulusan berkenaan daripada MKN. FOTO OWEE AH CHUN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mendapat kerjasama baik dan erat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi merealisasikan harapan ribuan peminat bola sepak tempatan yang mahu kembali menghangatkan stadium khususnya menjelang sepak mula saingan Piala Malaysia, Ahad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, beliau dan bersama wakil KBS sentiasa berhubung bagi memastikan permohonan kemasukan 'pemain ke-12' mendapat lampu hijau Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, KBS juga dilihat cukup serius untuk meraih segera kelulusan berkenaan daripada MKN.

"Belum lagi (keputusan kebenaran belum diterima lagi) tetapi pihak KBS sedang membincangkan perkara ini dengan MKN.

"Saya berhubung sendiri dengan pegawai KBS yang amat membantu membawa perkara ini ke MKN untuk pertimbangan segera," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, pada awal bulan ini, MFL menyerahkan permohonan cadangan prosedur operasi standard (SOP) Liga Malaysia 2021 termasuk kebenaran untuk kemasukan semula penyokong yang sudah lengkap vaksinasi.

Permohonan terbabit diserahkan sendiri Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan ketika kunjungan hormat ke atas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Putrajaya.

Dalam perjumpaan itu, Khairy juga diberikan penjelasan mengenai perkembangan Liga Malaysia 2021 yang sudah bermula sejak 5 Mac lalu menerusi SOP ketat ditetapkan MKN dan KBS dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 9:24 PM