AKSI Declan Rice ketika bertemu Dinamo Zagreb pada saingan peringkat Kumpulan H Liga Europa. FOTO EPA
AKSI Declan Rice ketika bertemu Dinamo Zagreb pada saingan peringkat Kumpulan H Liga Europa. FOTO EPA
Agensi

London: Manchester United dilaporkan menjadikan pemain tengah West Ham, Declan Rice sebagai sasaran utama mereka pada jendela perpindahan pemain.

Ole Gunnar Solskjaer mendapati pemain berusia 22 tahun itu akan menjadi pelengkap pasukan selepas berjaya mendapatkan Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Raphael Varane, menurut Independent.

Laporan itu menyatakan beberapa pemain United sudah pun memberitahu Rice mengenai perpindahan ke Old Trafford ketika mereka beraksi bersama skuad kebangsaan England.

Penyokong mula menyuarakan kekecewaan kegagalan menandatangani pemain tengah bertahan di sebalik kelab menduduki tangga teratas Liga Perdana selepas empat perlawanan.

Rice berpeluang menunjukkan kemampuannya apabila West Ham menanti kunjungan Manchester United esok.

Rice memberi fokus kepada West Ham pada musim ini dan dia menjangkakan akan berhijrah pada musim depan.

Bagaimanapun, Rice masih berpeluang menandatangani kontrak baharu termasuk membabitkan klausa pelepasan, di mana ia membolehkannya meninggalkan West Ham sekiranya harga perpindahannya dipersetujui oleh kelab yang mahu mendapatkan khidmatnya.

Dia dilabel antara pemain tengah muda terbaik di dunia dan sedar beberapa kelab gergasi termasuk Manchester City, Chelsea serta Liverpool turut berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 9:34 AM