KOEMAN dalam tekanan. FOTO AFP
KOEMAN dalam tekanan. FOTO AFP
AFP

Madrid: Ronald Koeman yakin Barcelona akan segera pulih apabila mereka berkunjung ke Granada dalam saingan La Liga biarpun dirinya kini dalam tekanan selepas pasukannya dituduh bukan hanya kalah tapi kehilangan identiti mereka.

Barca tewas 0-3 kepada Bayern Munich pada Selasa lalu dengan jurang yang ketara pada separuh masa kedua sehingga membolehkan Bayern mudah menguasai perlawanan.

Akhirnya penonton yang hadir di Camp Nou lebih berminat membuat hal sendiri daripada menyaksikan aksi di padang.

Pasukan Koeman gagal melakukan satupun percubaan tepat pada sasaran dan kurang memiliki bola berdasarkan statistik yang dikeluarkan dan kini sudahpun mencatatkan kekalahan ketiga berturut-turut di tempat sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara dan bocor 10 kali.

Selepas penjualan pemain pada musim panas dan pemergian Lionel Messi, tidak ada yang terkejut melihat aksi Bayern yang lebih baik.

Beberapa pihak menjangkakan Barcelona akan berdepan masalah dalam saingan Liga Juara-Juara atau mana-mana saingan utamanya musim ini.

Namun Barca tetap optimis dan berharap keputusan yang lebih baik selepas ini, apabila turun berdepan Granada pada Isnin dan kemudiannya Cadiz dan Levante.

Ramai yang mempersoalkan pemilihan pemain dan adakah Koeman adalah jurulatih terbaik untuk merapatkan jurang.

"Inilah apa adanya, kami adalah kami," kata Gerard Pique selepas perlawanan pertengahan minggu lalu dan Koeman kemudiannya bersetuju dengan kenyataannya itu. "kami perlu realistik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 11:50 AM