AKE (kanan) ledakkan gol pertama buat City ketika mereka menewaskan RB Leipzig. FOTO AFP
AKE (kanan) ledakkan gol pertama buat City ketika mereka menewaskan RB Leipzig. FOTO AFP

Manchester: Pemain Manchester City, Nathan Ake mendedahkan bahawa bapanya meninggal dunia beberapa saat selepas pemain antarabangsa Belanda itu meledakkan gol pertamanya dalam saingan Liga Juara-Juara.

Ake meledakkan gol pertamanya pada minit ke-16 ketika mereka mencatatkan kemenangan selesa 6-3 ke atas RB Leipzig.

Bagaimanapun detik berharga pemain berusia 26 tahun itu diwarnai dengan kesedihan selepas ayahnya, Moise, yang dipercayai bergelut dengan sakit terminal meninggal dunia tidak lama kemudian.

"Beberapa minggu kebelakangan ini begitu sukar dalam hidup saya, ayah saya sangat sakit dan tidak mungkin boleh dirawat lagi," kata Ake dalam Instagramnya.

"Semalam selepas masa yang sukar, saya berjaya menjaringkan gol pertama di Liga Juara-Juara dan hanya beberapa minit selepas itu dia meninggal dunia dengan tenang disamping ibu dan abang saya di sisinya.

"Ia memang begitu. Mungkin dengan melihat saya bermain membuatkan dia bangga dan gembira. Saya tahu ayah selalu bersama saya, ayah sentiasa dalam hati saya dan ini untuk ayah."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 9:25 AM