OSIMHEN (tengah) dikawal ketat pemain Leicester. FOTO AFP
OSIMHEN (tengah) dikawal ketat pemain Leicester. FOTO AFP

London: Victor Osimhen meledakkan dua gol buat Napoli untuk bangkit daripada ketinggalan 0-2 dan mencatatkan keputusan seri 2-2 di Leicester manakala Lyon menang 2-0 di Rangers pada aksi pembukaan peringkat Kumpulan Liga Europa.

Terdahulu Celtic mensia-siakan kelebihan dua gol apabila tewas 4-3 kepada Real Betis dan West Ham mencatatkan kemenangan selesa 2-0 menewaskan Dinamo Zagreb.

Leicester terlepas aksi Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut apabila menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan kelima.

Namun skuad Foxes pasti mahu mara lebih jauh dari kelompok 32 Liga Europa musim lalu dan bermula dengan baik ketika menentang gergasi Itali itu.

Ayoze Perez meledak ke gawang hasil hantaran lintang Harvey Barnes selepas sembilan minit permainan.

Patson Daka kemudian menyaksikan gol pertamanya buat Leicester dibatalkan selepas melihat rakaman VAR namun Barnes segera melupakan kekecewaan itu buat skuad Brendan Rodgers dengan menyudahkan gol kedua.

Pengendali Napoli, Luciano Spalletti menurunkan skuad terbaik dan pelawat membalas pada suku terakhir menerusi Osimhen.

Pemain Nigeria yang dibeli dari Lille dengani nilai AS$83 juta (RM346.42 juta) berjaya menewaskan penjaga gol Kasper Schmeichel untuk membolehkan Napoli kembali menguasai perlawanan.

Osimhen kemudian melompat tinggi mengatasi Caglar Soyuncu seterusnya memberikan gol penyamaan.

"Kesalahan utama ialah bukan memberikan dua gol itu, kesalahan utama ialah anda tidak belajar daripadanya," kata Rodgers. "Saya pasti ia sesuatu yang pasukan muda ini akan lakukan."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 8:56 AM