DAMIEN tekad mempertahankan gawang Negeri Sembilan dalam misi memburu kejuaraan Liga Perdana. FOTO Ihsan NSFC.
DAMIEN tekad mempertahankan gawang Negeri Sembilan dalam misi memburu kejuaraan Liga Perdana. FOTO Ihsan NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang musim termasuk dari segi persiapan latihan akibat Covid-19, Negeri Sembilan FC (NSFC) kini selangkah lagi untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Skuad Hobin Jang Hobin bakal membuat perhitungan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC pada aksi terakhir liga, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Selasa depan.

Bagi penjaga gol utama pasukan itu, Damien Lim, ini adalah peluang terbaik baginya dan rakan sepasukan untuk melakar sejarah tersendiri dengan membantu pasukan menjulang kejuaraan liga.

"Kami berada pada posisi terbaik menjulang kejuaraan liga musim ini dan sudah tentu peluang terbaik itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencipta kejayaan buat pasukan.

"Saya yakin dan percaya, menerusi kelebihan beraksi di laman sendiri, tidak mustahil impian itu boleh dicapai, pada 21 September ini," katanya hari ini.

Bekas pemain skuad Bawah 23 Tahun Kebangsaan itu berjanji untuk memberikan persembahan terbaik dan bertekad mengekalkan rekod cemerlangnya tanpa bolos dalam enam daripada 12 perlawanan liga.

"Saya ingin meneruskan aksi cemerlang apa lagi ia perlawanan penting dan penutup tirai musim ini.

"Jika diberikan tugas menggalas cabaran itu, saya berazam untuk mempertahankan gawang Negeri Sembilan daripada bolos dan membantu pasukan memenangi perlawanan itu nanti," kata pemain kelahiran ibu negara berusia 24 tahun itu.

Damien berkata, ketika ini dia dan rakan-rakan dalam persiapan menjelang perlawanan itu, malah semua pemain dalam keadaan bermotivasi tinggi untuk berhadapan dengan PDRM selepas kejayaan menewaskan Sarawak United FC, Jumaat lalu.

Menurutnya, situasi itu meningkatkan lagi keyakinan pemain, namun tetap menyedari tugas mencabar bakal mereka hadapi pada pertembungan itu nanti, tatkala PDRM juga ada misi yang tersendiri yang ingin mereka capai.

"PDRM sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang rendah dan mereka juga ada misi tersendiri dalam liga musim ini.

"Oleh itu, kami perlu mempamerkan aksi lebih mantap jika mahu memenangi perlawanan itu nanti," katanya yang mengakui rakan sepasukan Kaharuddin Abd Rahman dan Mohamad Muhaimin Mohamad, banyak membantunya dalam meningkatkan prestasi selama ini.

Trofi kejuaraan Liga Perdana musim ini menjadi rebutan dua pasukan teratas antara NSFC dan Sarawak United, yang perlu menang dalam perlawanan terakhir masing-masing dengan Sarawak bakal berhadapan Johor Darul Ta[zim (JDT II) di Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 3:37 PM