ANNIL (kanan) berpeluang cipta nama di Eropah.
ANNIL (kanan) berpeluang cipta nama di Eropah.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bakat pemain Malaysia terus mencuri perhatian kelab Eropah apabila tonggak muda negara, V Annil ditawarkan sesi ujian bersama dua kelab utama Jerman.

Dua pasukan Bundesliga terbabit adalah VfB Stuttgart dan Karlsruher SC yang berhasrat untuk menguji Annil pada November ini.

Annil, 19, difahamkan berjaya memikat perhatian dua kelab terbabit selepas melihat aksinya ketika beraksi bersama SGV Freiburg yang bersaing dalam saingan divisyen lima negara itu. Perkembangan itu turut diakui pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney yang gembira dengan prestasi terkini Annil itu.

Jelasnya, pemain serba boleh yang mampu beraksi di bahagian pertahanan, sayap dan serangan itu tetap akan berada dalam perancangannya menjelang pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Mongolia pada hujung Oktober depan.

"Saya gembira dengan perkembangan Annil dan menerusi perbualan telefon dengannya, dia akan mengikuti sesi percubaan bersama VfB Stuttgart dan Karlsruher SC.

"Dua kelab itu antara kelab terbesar di Jerman, jadi dengan peluang diraih olehnya menandakan negara masih memiliki bakat yang baik. Mengenai dirinya bersama pasukan negara, kita tetap akan memanggilnya untuk kelayakan nanti. Selepas kelayakan itu, dia mungkin akan kembali ke Jerman untuk mengikuti percubaan itu," katanya kepada Arena Metro.

Selain Annil yang akan memperkuatkan skuad B-23 negara, dua lagi pemain berpangkalan di luar iaitu Luqman Hakim Shamsudin di Liga Belgium bersama KV Kortrijk dan Wan Kuzri Wan Kamal di Amerika Syarikat turut dipanggil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 5:59 PM