BECKER dan Fabinho perkasa cabaran Liverpool. FOTO Agensi
BECKER dan Fabinho perkasa cabaran Liverpool. FOTO Agensi
Agensi

London: Liverpool menarik nafas lega selepas tonggak dari Brazil boleh beraksi menentang Leeds United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) esok apabila badan bola sepak negara itu bersetuju menarik balik sekatan ke atas kedua-dua kelab terbabit.

Alisson Becker dan Fabinho pada mulanya bakal terlepas aksi di Elland Road selepas Brazil FA menggesa Fifa melaksanakan peraturan lima hari kuarantin kepada kedua-duanya susulan Liverpool enggan melepaskan mereka untuk tugasan antarabangsa bulan ini.

Keputusan itu diambil selepas kelab EPL mencapai kata sepakat enggan membenarkan pemain mereka pulang ke negara dalam senarai merah seperti ditetapkan kerajaan United Kingdom, sekali gus mereka perlu dikuarantin sebaik pulang ke UK dan tidak boleh beraksi untuk kelab.

Tetapi selepas rundingan lanjut antara Fifa, FA dan Liga Perdana, persatuan bola sepak Brazil, Chile, Mexico serta Paraguay bersetuju mengetepikan tempoh kuarantin lima hari itu.

Roberto Firmino juga terbabit dengan peraturan itu, tetapi dia sudah pun disahkan tidak dapat beraksi akibat masalah hamstring.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sebelum ini tidak puas hati dan kecewa dengan situasi yang berlaku ketika sidang akhbar, kelmarin.

"Apa boleh saya katakan ialah saya tak tahu ketika ini. Kita tunggu, rundingan masih berjalan. Kita tahu pandemik belum reda yang menyukarkan kehidupan kita, begitu juga dengan bola sepak," kata pengendali Reds itu.

Perkembangan terbaru itu bermakna Raphinha juga boleh beraksi untuk Leeds United dalam perlawanan penting itu.

Leeds masih belum menang dalam lapan aksi terakhir menentang Reds termasuk seri 1-1 di Elland Road musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 9:46 PM