GELAGAT peminat kecil ketika melihat poster pemain United di Old Trafford.  FOTO AFP
GELAGAT peminat kecil ketika melihat poster pemain United di Old Trafford. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United memiliki peluang terbaik menjulang pelbagai trofi musim ini dengan adanya Cristiano Ronaldo, menurut bekas pemain sayap Red Devils, Jesper Olsen.

Ronaldo kini berada di Old Trafford selepas menyertai semula United dari gergasi Serie A Juventus sebelum tamat jendela perpindahan minggu lalu. Penjaring terbanyak antarabangsa itu mengikat kontrak dua tahun dengan pilihan lanjutan di Manchester.

Bintang Portugal berusia 36 tahun itu memenangi salah satu trofi Ballon d'Or bersama United, meledak 118 gol dalam 292 aksi ketika kali pertama di Manchester dan meraih tiga gelaran Liga Perdana serta Liga Juara-Juara sebelum berpindah ke Real Madrid pada 2009.

Ronaldo turut menjaringkan 674 gol dalam 895 aksi kelab di semua kejohanan dengan purata satu gol setiap 108 minit.

Selepas 12 tahun, Ronaldo yang meledak hatrik sulung daripada 48 hatrik kelab ketika menentang Newcastle United pada 2008 kini bakal kembali menghantui Magpies dalam aksi Liga Perdana malam esok dan bekas sayap United, Olsen teruja dengan kehadiran semula sensasi Portugal itu.

"Saya fikir ia fantastik. Ia cara yang hebat untuk dia tamatkan karier. Dia sudah pun berusia 36 tahun,'' kata Olsen yang menjuarai Piala FA sepanjang empat tahun di United pada era 1980-an.

"Fizikalnya dan pemain sekitarnya yang akan beraksi bersama dan belajar daripadanya. Sesuatu yang menarik untuk Liga Perdana, sudah tentu.''

Skuad Ole Gunnar Solskjaer menang dua daripada tiga aksi pertama liga musim ini menjelang pertembungan dengan Newcastle di Theatre of Dreams dan Ronaldo mampu mengekalkan momentum kemenangan Red Devils.

"Mereka kini mempunyai peluang terbaik untuk memenangi bukan satu malah beberapa lagi dalam tempoh 12 bulan akan datang,'' kata Olsen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 6:55 PM