RONALDO pintas rekod Ali Daei. FOTO Agensi
RONALDO pintas rekod Ali Daei. FOTO Agensi
Agensi

London: Cristiano Ronaldo dan Ali Daei bertukar mesej sesama mereka selepas CR7 memintas rekod legenda Iran itu sebagai penjaring terbanyak antarbangsa sepanjang zaman.

Rekod Ali Daei selama 17 tahun berakhir Khamis lalu selepas Ronaldo mengatasi 109 jaringan miliknya.

Bintang Portugal itu melakukannya dengan bergaya ketika bangkit menentang Ireland dalam aksi kelayakan Piala Dunia menerusi dua tandukan lewat permainan untuk menang 2-1.

Bukan sahaja dia mengesahkan tiga mata milik Portugal tetapi turut menambah koleksi jaringan kepada 111 gol dalam 180 penampilan.

Ali Daei yang memintas rekod milik Ferenc Puskas pada 2004 mengucapkan tahniah kepada pemain yang mengatasi rekodnya.

"Kerendahan hati dan kebaikan anda menjadikan juara terhebat, Ronaldo. Rekod anda akan bertahan lama!'' kata legenda Iran itu.

Sebaik sahaja mencipta rekod, Ronaldo meluahkan kegembiraan dan kebanggaannya beraksi bersama Portugal di Instagram selain berterima kasih kepada rakan sepasukan dan lawan di atas sumbangan mereka.

Dalam mesejnya, pemain berusia 36 tahun itu turut memuji Ali Daei.

Katanya: "Antara sebab saya teruja dengan pencapaian ini kerana Ali Daei telah menetapkan satu tahap yang tinggi sehingga ada ketikanya saya mula terfikir mustahil untuk saya mengejar rekod itu.

"Tahniah kepadanya yang memegang rekod itu sekian lama dan terima kasih kerana beliau tunjukkan hormat setiap kali saya jaringkan gol ketika saya makin hampir dengan rekod itu.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 1:07 PM