KEKECOHAN tercetus selepas pegawai kesihatan Brazil menyerbu padang. FOTO AFP
KEKECOHAN tercetus selepas pegawai kesihatan Brazil menyerbu padang. FOTO AFP
Agensi

Sao Paulo: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mula menyiasat insiden penangguhan aksi kelayakan Piala Dunia membabitkan Brazil dan Argentina.

Perlawanan dihentikan semalam selepas berlaku perlanggaran arahan kuarantin apabila Argentina menurunkan tiga pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kesebelasan mereka.

Brazil pula gagal mendapatkan khidmat tonggak yang beraksi di England selepas beberapa kelab utama EPL enggan melepaskan pemain mereka.

Pengunjung dari United Kingdom perlu mematuhi protokol kuarantin 14 hari namun Emiliano Martinez, Cristian Romero dan Giovanni Lo Celso kesemuanya tampil beraksi menyebabkan pegawai kesihatan Brazil menyerbu padang beberapa minit selepas perlawanan bermula.

Kekecohan tercetus dan pasukan pelawat meninggalkan padang dan tidak kembali. Perlawanan yang dijangka sengit sebaliknya bertukar kepada sesi latihan skuad tuan rumah.

Ketika siasatan masih dijalankan, badan bola sepak antarabangsa itu mengeluarkan kenyataan terkininya.

"Fifa kesal dengan insiden penangguhan perlawanan Brazil dan Argentina dalam kelayakan Pialal Dunia 2022 yang menghampakan jutaan peminat untuk menyaksikan dua negara hebat dalam bola sepak beraksi.

"Laporan pertama rasmi perlawanan telah dihantar kepada Fifa. Maklumat ini akan dianalisa oleh badan disiplin dan keputusan akan ditentukan selepas itu.''

Sementara itu, penjaga gol Argentina, Martinez percaya penangguhan perlawanan disebabkan isu politik.

"Kami tahu apa yang berlaku. Kami bersiap sedia selama tiga hari di Brazil untuk perlawanan tetapi hanya dibatalkan selepas lima minit ia berlangsung. Memang mengecewakan,'' katanya.

"Kami memberikan apa sahaja untuk menang dan atas sebab politik ia dibatalkan. Saya tak tahu apa berlaku, ia dibatalkan dan kami perlu pulang.

"Terdapat khabar angin mengenai pemain daripada EPL yang tidak boleh beraksi tapi mereka sepatutnya memberikan amaran sebaik tiba di Brazil. Mudah sahaja, beri amaran lebih awal, '' katanya kepada wartawan di Lapangan Terbang Ezeiza, awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 8:44 AM