RONALDO menggayakan jersi Man United. FOTO FB Manchester United
RONALDO menggayakan jersi Man United. FOTO FB Manchester United
Agensi

London: Manchester United berdepan kekurangan stok replika jersi untuk dijual selepas kehadiran Cristiano Ronaldo mencetuskan permintaan yang sangat tinggi.

Jenama kit United, Adidas sudah berdepan masalah kelewatan pengeluaran jersi berikutan penutupan kilang di Vietnam, lokasi di mana 28 peratus pengeluaran produk jenama gergasi itu dihasilkan di sana.

Kelewatan pengeluaran itu berpotensi berlanjutan selama empat bulan tetapi situasi lebih parah dengan kembalinya Ronaldo ke Old Trafford.

Ronaldo yang kembali memakai jersi bernombor tujuh, mencetuskan permintaan yang semakin tinggi di sekitar United dan ramai yang berusaha mahu mendapatkan jersi kelab berkenaan.

Jurucakap Adidas memberitahu The Independent: "Kami akan bekerjasama dengan MUFC untuk cuba memenuhi permintaan tinggi daripada peminat terhadap rekaan jersi terbaru."

Di laman web United, ia menjelaskan jersi yang tertera nama Ronaldo dan bernombor tujuh di belakangnya tidak mungkin akan dapat diterima pembeli sehinggalah November.

Ronaldo diberi peluang menggayakan jersi terbaru itu selepas skuad kebangsaan Portugal melepaskannya lebih awal kerana digantung satu perlawanan ketika menang 2-1 ke atas Ireland Utara pada kempen kelayakan Piala Dunia.

Bintang berusia 36 tahun itu menjaringkan dua gol untuk melakar rekod penjaring terbanyak di pentas antarabangsa.

Dia bagaimanapun dilayangkan kad kuning kerana membuka baju ketika meraikan gol kemenangannya sekali gus tidak dapat beraksi menentang Azerbaijan, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 10:17 PM