PEMAIN UiTM FC, Muhamad Fared Nezal (kiri) mengasak pemain Sabah FC, Ummareng Bacok (tengah)  di Stadium UiTM, Shah Alam. FOTO Aizuddin Saad
PEMAIN UiTM FC, Muhamad Fared Nezal (kiri) mengasak pemain Sabah FC, Ummareng Bacok (tengah) di Stadium UiTM, Shah Alam. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

Kota Kinabalu: Masalah komunikasi di awal perlawanan antara punca Sabah FC tewas mengejut 0-4 kepada pasukan tercorot, UiTM FC dalam saingan Liga Super 2021 di Stadium UiTM di Shah Alam, Selangor semalam.

Ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, dua gol pertama lawan berpunca daripada 'miscommunication' pemain terutama di bahagian pertahanan, dan dua gol itu meragut semangat Sabah FC.

"Dua gol pertama itu membuat pasukan kami 'down' pada saat kita mahu bermain secara 'full attack', setelah kita analisa permainan mereka. Mereka bermain 'compact defence', apabila kita kena serangan balas dan dua gol dalam dua minit memang berat untuk kita kembali.

"Pada separuh masa kedua kita cuba untuk mengubah permainan dengan hampir semua pemain fokus menyerang, tetapi mereka lancarkan serangan balas yang menyukarkan kita," katanya menerusi pesanan suara dikongsikan Sabah FC kepada media tempatan, hari ini.

Kurniawan berkata, pasukannya akan tetap melihat ke hadapan selain menjadikan perlawanan malam tadi sebagai satu pengajaran, untuk lebih bekerja keras bagi perlawanan Liga Super seterusnya menentang Selangor FC di Stadium Likas di sini pada 5 Sept depan.

Pada perlawanan semalam, empat gol UiTM FC dijaringkan Kwon Yong-hyun menerusi sepakan penalti pada minit ke-15, diikuti gol Joe Vinicius dua minit kemudian, sebelum Sean Gan Giannelli meledak dua gol dalam tempoh tujuh minit masing-masing pada minit ke-59 dan minit ke-66.

Sabah FC kini pada kedudukan ketujuh Liga Super dengan 19 mata daripada 20 perlawanan, manakala UiTM di kedudukan ke-12, dengan sembilan mata daripada 19 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 2:43 PM