Penyerang Inter Milan, Joaquin Correa (kanan) dari Argentina meledak dua gol ketika aksi berdepan Hellas Verona dalam saingan Serie A. FOTO AFP
Penyerang Inter Milan, Joaquin Correa (kanan) dari Argentina meledak dua gol ketika aksi berdepan Hellas Verona dalam saingan Serie A. FOTO AFP
AFP

Milan: Joaquin Correa melakar impian pada penampilan pertama bersama Inter Milan selepas meledak dua gol untuk membantu juara Serie A bangkit menewaskan Hellas Verona, 3-1, pagi ini.

Correa melengkapkan perpindahan ke Inter dari Lazio pada Khamis dan dimasukkan dari bangku simpanan untuk memastikan mata kemenangan buat skuad kendalian Simone Inzaghi yang memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan dua kemenangan.

Penyerang Argentina itu meledak gol kedua Inter tujuh minit sebelum tamat perlawanan selepas menyambut bola umpanan Matteo Darmian dan memastikan kebangkitan selepas Lautaro Martinez menyamakan kedudukan menerusi tandukan beberapa minit selepas rehat permainan.

Dia menambah jaringan pada minit kecederaan perlawanan dengan penyudah tajam.

"Impian saya hadir ke sini sejak dari kanak-kanak, saya memakai jersi Inter buat pertama kali dan berterima kasih kerana kami menang serta terima kasih kerana jaringan saya," kata Correa

"Saya mahu berterima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih dan kelab yang menaruh kepercayaan kepada saya serta membuatkan saya berasa seperti berada di sini bertahun lamanya."

Kekalahan itu cukup mengecewakan buat Verona selepas mendahului perlawanan menerusi Ivan IIic pada minit ke-15 dan memberikan Inter cabaran sukar, malah mereka masih gagal memungut mata selepas dua perlawanan pembukaan liga.

Inzaghi menggantikan jurulatih yang memenangi kejuaraan liga, Antonio Conte musim ini, mempunyai kelompok pasukan baharu yang ditandatangani bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan bintang mereka, Romelu Lukaku dan Achraf Hakimi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 7:22 AM