Pemain Perak (tengah) dicabar pemain Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Perak. FOTO Ihsan Perak FC
Pemain Perak (tengah) dicabar pemain Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Perak. FOTO Ihsan Perak FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Situasi Perak semakin 'parah' apabila terus berada di zon penyingkiran selepas tewas 3-0 kepada Selangor FC, Sabtu lalu, sekali gus menyaksikan peluang untuk kekal di Liga Super pada musim depan agak sukar.

Hanya menghimpun 13 mata daripada 19 perlawanan, mereka tidak berada pada kedudukan yang baik kerana bukan setakat wajib menang dalam baki tiga aksi namun perlu mengharapkan beberapa pasukan di atas turut tercicir mata.

Bagaimanapun, pemangku jurulatih The Bos Gaurus, Mohd Shahril Nizam Khalil enggan mengangkat bendera putih dan mengharapkan anak buahnya akan terus berjuang sehingga tamat Liga Super musim ini.

"Dalam keadaan sekarang dan mengikut peluang, agak sukar (kekal di Liga Super) tetapi saya percaya kami masih mencuba sehingga ke akhirnya.

"Kita akan berjuang juga sehingga ke akhirnya," katanya.

Pada aksi di Stadium Perak, dua jaringan daripada Ifedayo Olusegun dan satu gol menerusi Oliver Buff membolehkan The Red Giants menumbangkan Perak FC 3-0 sekali gus merakam empat kemenangan berturut-turut.

Mengulas lanjut mengenai prestasi anak buahnya, Shahril mengakui barisan pemainnya memerlukan banyak peluang beraksi di Liga Super untuk menjadi skuad yang lebih mantap dan mampu mencabar di tahap tertinggi.

"Selangor adalah pasukan yang baik kerana mereka berada dalam kedudukan empat terbaik. Saya rasa Perak FC memiliki ramai pemain berbakat tetapi masih belum cukup untuk bersaing dengan pemain Selangor.

"Pemain kita masih muda jadi mereka sangat perlukan pengalaman untuk beraksi di Liga Super," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 7:42 PM