LIVERPOOL mahu mengekalkan Salah. FOTO EPA
LIVERPOOL mahu mengekalkan Salah. FOTO EPA
Agensi

London: Liverpool dikatakan sudah memulakan perbincangan dengan Mohamed Salah untuk menjadikannya pemain menerima gaji paling tinggi dalam sejarah kelab itu.

Bintang Mesir itu yang ketika ini meraih gaji £200,000 (RM1.15 juta) seminggu, sedang berunding mengenai lanjutan kontrak empat tahun.

Kontrak Salah, 29, sehingga 2023 tetapi Reds mahu dia memberikan komitmen untuk tempoh dua tahun lagi.

Demikian laporan The Athletic yang menyatakan tawaran baru berkenaan akan memecahkan rekod kelab Merseyside itu.

Virgil van Dijk ketika ini adalah pemain Liverpool yang menerima pendapatan termahal dengan gaji £220,000 (RM1.27 juta) seminggu.

Salah muncul pemain paling penting untuk kelab itu sejak ketibaannya pada 2017 dan membantu Reds memenangi Liga Juara-Juara serta Liga Perdana.

Dia sudah menjaringkan 126 gol dan membantu menghasilkan 49 gol sepanjang 204 penampilan bersama Liverpool.

Bekas penyerang Roma dan Chelsea itu juga sudah memulakan kempen musim ini dengan prestasi cemerlang.

Dia membantu dua jaringan dan turut meledak gol ketika Liverpool melakar kemenangan 3-0 ke atas Norwich di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 9:35 PM