Harry Kane menjalani latihan di Tottenham. FOTO Agensi
Harry Kane menjalani latihan di Tottenham. FOTO Agensi
Agensi

London: Rakan sepasukan Harry Kane di Tottenham berkata mereka tidak berdepan masalah untuk mengalu-alukan kehadiran semula penyerang itu.

Bos mereka, Nuno Espirito Santo berkata khidmat kapten England itu tetap diperlukan dan dia mahu Kane bersedia untuk kembali.

Kane berada dalam senarai pasukan bagi saingan play-off Liga Konference Europa (ECL) dan mungkin beraksi menentang Pacos Ferreira, Khamis depan.

Pertahanan Spurs, Davinson Sanchez berkata: "Jika dia mempunyai peluang untuk bersama kami di atas padang sudah pasti dia akan berusaha membantu kami, tidak ragu-ragu mengenai perkara itu.

"Semua orang di sini tahu bertapa profesionalnya dia dan tiada siapa yang boleh meragui bagaimana bagus dia sebagai seorang pemain.

"Kami tetap berada di pihaknya dan sebarang keputusan yang berlaku atau yang diambilnya kemudian hari, kami tetap akan menyokongnya, kerana dia memberikan segalanya buat kelab.

"Sebagai pemain, dia banyak membantu saya dan sebagai ketua dia sangat rendah diri."

Kane, 28, tidak beraksi ketika Tottenham memulakan kempen Liga Perdana Inggeris di laman sendiri Ahad lalu, dengan kemenangan 1-0 ke atas Manchester City, yang juga kelab dikaitkan menjadi destinasi seterusnya Kane.

Pemain kebangsaan Colombia, Sanchez, 25, memberitahu: "Harry adalah pemain No 9 terbaik di dunia, tidak diragukan lagi. Jika seseorang berkata yang lain mengenai pemain itu pastinya mereka tidak memahami bola sepak."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 11:21 AM