HAALAND (kiri) cuba dihalang oleh pertahanan Wiesbaden, Ahmet Guerleyen dalam saingan pusingan pertama Piala Liga. FOTO AFP
HAALAND (kiri) cuba dihalang oleh pertahanan Wiesbaden, Ahmet Guerleyen dalam saingan pusingan pertama Piala Liga. FOTO AFP
AFP

Berlin: Erling Braut Haaland meledak hatrik tatkala penyandang juara, Borussia Dortmund mudah mengetepikan pasukan kerdil, Wehen Wiesbaden dengan kemenangan 3-0 di pusingan pertama Piala Jerman.

Sejak menyertai Dortmund pada Januari 2020, mesin peledak gol dari Norway ini sudah menjaringkan 60 gol iaitu jumlah yang sama dia beraksi bersama kelab berkenaan, termasuk tujuh gol dalam enam perlawanan Piala Jerman.

Seminggu sebelum bermulanya Bundesliga, Dortmund berjaya mara ke pusingan seterusnya untuk saingan piala berkenaan.

Mereka kehilangan pertahanan, Thomas Meunier dan penyerang, Julian Brandt, dengan kedua-duanya dikuarantin selepas positif Covid-19 namun pasukan pelawat sangat kuat buat Wiesbaden.

Haaland, 21, menjaringkan dua gol ketika Dortmund memenangi Piala Jerman dalam aksi final musim lalu dan sekali lagi dia menunjukkan penyudah klinikal di Wiesbaden, yang beraksi di divisyen tiga di Jerman.

Dia meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-27 apabila berjaya mengutip lorongan Marco Reus sebelum melepaskan sepakan yang menerjah jaring.

Empat minit kemudian, dia menyempurnakan sepakan penalti selepas dijatuhkan penjaga gol lawan.

Aksi separuh masa pertama berakhir dengan Dortmund mendahului 2-0 namun Haaland melengkapkan hatrik apabila menyempurnakan hantaran Giovanni Reyna pada minit ke-51.

Dalam aksi lain, menyaksikan RB Leipzig berjaya mencatat kemenangan 4-0 ke atas pasukan divisyen dua, Sandhausen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 9:05 AM