PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akan berbincang dengan Maloney mengenai status beberapa pemain muda. FOTO Arkib NSTP
PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akan berbincang dengan Maloney mengenai status beberapa pemain muda. FOTO Arkib NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Barisan kejurulatihan akan memastikan tiada isu berebut pemain menjelang kem latihan pusat skuad Harimau Malaya dan pasukan bawah 20 (B-20) tahun negara yang dijadual bermula dari 30 Ogos hingga 7 September ini.

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama ketua jurulatih B-20, Brad Maloney bagi memuktamadkan status beberapa pemain muda yang sebelum ini kerap disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan.

Jelasnya, tonggak seperti Arif Aiman Hanapi dan Luqman Hakim Shamsudin sememangnya berada dalam perancangannya dan kem latihan hujung bulan ini turut diisi dengan perlawanan persahabatan bagi menguji pasukan.

Namun, beliau memahami keinginan Maloney yang kesuntukan masa untuk membentuk pasukan B-20 sebelum beraksi di pusingan Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 pada hujung Oktober ini.

"Kami akan berbincang bersama skuad B-20 negara dalam masa terdekat ini termasuk mengenai beberapa pemain sama ada untuk berlatih bersama pasukan senior atau pasukan B-20.

"Kami merancang perlawanan persahabatan untuk menilai dan melihat perkembangan pasukan selain meneruskan momentum selepas bermain di kelayakan Piala Dunia (Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023) di UAE (bulan Jun lalu)," katanya kepada Arena Metro.

Skuad Harimau Malaya yang mengakhiri kempen kelayakan Piala Dunia di tangga ketiga Kumpulan G bakal meneruskan pemburuan tiket ke Piala Asia 2023 apabila beraksi di peringkat kelayakan, Februari tahun depan.

Lantas, tiga aksi antarabangsa iaitu pada September, Oktober dan November ini dilihat cukup penting buat Cheng Hoe memburu tiket ke Piala Asia yang dijadual berlangsung di China.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 8:09 PM