LEE Tuck tidak beraksi malam ini. FOTO Ihsan TFC
LEE Tuck tidak beraksi malam ini. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Impian peminat setia dua pasukan berjiran, Terengganu FC (TFC) dan Sri Pahang FC untuk menyaksikan Lee Tuck beraksi bersama TFC pada malam ini tidak kesampaian selepas pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu belum cergas sepenuhnya selepas pulih daripada kecederaan.

Namun Tuck yang kini berstatus pemain pinjaman tetap akan turun ke padang bagi memberikan sokongan moral kepada barisan pemain skuad Penyu berdepan dengan bekas pasukannya itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

"Maaf saya tidak dapat membantu pasukan TFC menentang bekas pasukan saya, Sri Pahang pada malam ini kerana masih belum cergas sepenuhnya selepas baharu pulih daripada kecederaan, jika ikutkan memang hasrat saya untuk bermain.

"Namun dalam keadaan begini saya terpaksa menunggu sehingga betul-betul cergas 100 peratus, mungkin pada hujung minggu depan saya akan turun beraksi," kataTuck ketika dihubungi.

Ketika ditanya kekuatan kedua-dua pasukan, pemain yang digelar 'Rooney Ganu' itu akui masing-masing mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri, namun dia mengharapkan TFC berjaya meneruskan rentak kemenangan selepas menumbangkan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) Rabu lalu.

"Saya hormat pasukan TFC dan Sri Pahang, saya lihat ada keyakinan yang tinggi daripada pasukan Sri Pahang, namun TFC dilihat lebih bersedia selepas menang dengan selesa 3-0 menentang PJ City FC.

"Keadaan padang juga baik, jadi saya rasa kita dapat menyaksikan satu perlawanan yang menarik nanti, saya tidak mahu melepaskan peluang dan akan turun untuk menyaksikan perlawanan itu," katanya.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Tuck yang ketika itu menyarung jersi Sri Pahang gagal membantu pasukan itu mengutip mata penuh sesudah terikat 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 4:25 PM