PEMAIN bola sepak wanita Kanada meraikan kejayaan meraih emas selepas menumpaskan Sweden 3-2 dalam penentuan penalti. FOTO AFP
PEMAIN bola sepak wanita Kanada meraikan kejayaan meraih emas selepas menumpaskan Sweden 3-2 dalam penentuan penalti. FOTO AFP
AFP

Yokohama: Christine Sinclair, penjaring gol terbanyak sepanjang zaman di peringkat antarabangsa, menikmati saat terakhir dalam kariernya tatkala Kanada meraih emas pertama Olimpik bola sepak wanita.

Pemain berusia 38 tahun itu kali pertama mewakili pasukan kebangsaan ketika remaja pada 2000 dan 187 gol di peringkat antarabangsa adalah yang paling banyak dalam sejarah sukan berkenaan baik untuk lelaki mahupun wanita.

Selepas meraih gangsa di London 2012 dan Rio 2016, Christine akhirnya mampu menggenggam emas apabila menumpaskan Sweden 3-2 menerusi penentuan penalti di Yokomaha selepas terikat 1-1 sehingga masa tambahan.

"Saya sangat gembira, sangat bangga dengan pasukan ini. Tidak pernah mengimpikan untuk menjadi juara Olimpik.

"Pasukan ini sudah melalui pelbagai cabaran bersama-sama. Sekarang, kami adalah juara Olimpik, berbanding di mana kita bermula. Ini sungguh luar biasa," katanya yang menonton drama penentuan penalti dari luar padang selepas dikeluarkan pada hujung separuh masa kedua.

"Saya mahu memenanginya terutama untuk Christine kerana dia sudah mengubah cara permainan bola sepak. Dia segala-galanya buat saya. Saya melihatnya ketika saya masih kanak-kanak," kata pemain tengah, Julia Grosso.

Julia menyempurnakan sepakan penalti kemenangan selepas Sweden gagal melaksanakan tugas dalam tiga sepakan terakhir.

Penjaga gol Kanada, Stephanie Labbe menyelamatkan dua sepakan penalti, mengulangi aksi tangkasnya ketika mengetepikan Brazil di suku akhir.

Stina Blackstenius terlebih dulu meletakkan Sweden di depan hasil jaringan kelimanya sepanjang temasya namun sepakan penalti Jessie Fleming pada separuh masa kedua mengheret aksi hingga ke masa tambahan dan ia berakhir sengan kedudukan 1-1 sehingga minit ke-120.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 9:03 AM