Pemain Jepun, Wataru Endo (kiri) cuba menghalang pemain Mexico, Sebastian Cordova dalam aksi Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO AFP
Pemain Jepun, Wataru Endo (kiri) cuba menghalang pemain Mexico, Sebastian Cordova dalam aksi Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO AFP
AFP

Saitama: Sebastian Cordova meledak gol penalti dan mencipta gerakan untuk dua lagi jaringan ketika Mexico menewaskan tuan rumah Jepun, 3-1 sebentar tadi, sekali gus memenangi pingat gangsa dalam acara bola sepak lelaki di Sukan Olimpik.

Cordova yang beraksi buat kelab Mexico, America, meledak gol awal bagi pemenang pingat emas 2012 selepas kekasaran oleh Wataru Endo ke atas Alexis Vega.

Pemain pertahanan Johan Vasquez, diperintah keluar padang ketika tewas 2-1 kepada Jepun dalam aksi peringkat kumpulan, berjaya melepaskan diri dari kawalan pemain lawan untuk menanduk sepakan percuma yang diambil Cordova ketika Mexico mengadakan jaringan pada babak pertama.

Satu lagi umpanan Cordova menyaksikan gol ketiga Mexico selepas sejam permainan apabila Vega menanduk masuk ke penjuru gawang gol.

Jepun menyumbat gol saguhati menerusi Kaoru Mitoma tetapi menamatkan saingan di tempat keempat buat kali kedua dalam tiga Olimpik, selepas tewas dalam penentuan tempat ketiga di London pada 2012.

Penyandang juara, Brazil akan menentang Sepanyol yang memenangi kejuaraan di laman sendiri pada 1992, bagi saingan final yang berlangsung di Yokohama, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 7:55 PM