Skuad Vietnam muncul juara Piala AFF 2018. FOTO File Agensi
Skuad Vietnam muncul juara Piala AFF 2018. FOTO File Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penangan pandemik Covid-19 menyaksikan undian Piala Konfederasi Bolasepak Asean (AFF) yang dijadualkan berlangsung di Singapura 10 Ogos ini terpaksa di tunda ke tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.

Presiden AFF Khiev Sameth dalam kenyataannya memaklumkan bahawa penundaan majlis undian rasmi terpaksa dilakukan berikutan kerajaan Singapura memperketatkan kembali prosedur operasi standard (SOP) keselamatan selepas berlakunya peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, tarikh baharu majlis undian rasmi pertandingan membabitkan 11 pasukan itu akan diumumkan kelak selepas melakukan perbincangan bersama pihak berkaitan.

"Kami menghormati tindakan Singapura dalam menangani dan menguruskan pandemik yang sedang melanda negara terbabit.

"Langkah berkenaan adalah demi memastikan keselamatan rakyat Singapura dan tindakan itu sangat penting dalam membendung penularan pandemik.

"Namun, AFF akan terus memantau situasi dan akan mengambil Tindakan susulan demi kepentingan semua pihak," katanya.

Mengikut pindaan jadual sebelum ini, kejohanan Piala AFF 2020 sepatutnya diadakan sekitar April hingga Mei 2021.

Tapi, AFF menangguhkan pertandingan itu kepada 5 Disember hingga 1 Januari 2022 disebabkan oleh penularan wabak pandemik Covid-19 di seluruh dunia ditambah pula dengan kesukaran tuan rumah untuk menganjurkan perlawanan.

Mengikut rekod, kejohanan dwi tahunan itu kali terakhir berlangsung pada 2018 apabila menyaksikan Vietnam muncul juara selepas membenam Malaysia 1-0 di Stadium My Dinh, Hanoi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 7:32 PM