ANTHONY Martial antara pemain yang ingin dijual oleh Man United. FOTO AFP
ANTHONY Martial antara pemain yang ingin dijual oleh Man United. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United dilaporkan berharap dapat menjual 10 pemainnya bulan ini untuk menampung perbelanjaan bagi mendapatkan Kieran Trippier dan Eduardo Camavinga.

Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer sedang memperkemaskan skuad yang mampu menjadi pencabar kejuaraan Liga Perdana selepas sekadar menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik.

Penjaga gol, Tom Heaton sudah tiba secara percuma manakala United juga berbelanja besar sebanyak £73 juta (RM429 juta) untuk mendapatkan pemain sayap, Jadon Sancho dari Borussia Dortmund.

United juga sudah mencapai persetujuan dengan Real Madrid untuk mendapatkan pemain pertahanan, Raphael Varane dengan potensi nilai perpindahan mencecah £42.7 juta (RM251 juta).

Solskjaer masih mencari pertahanan kanan serta pemain tengah dengan ESPN melaporkan pertahanan Atletico Madrid, Trippier dan bintang Rennes, Camavinga menjadi sasaran utamanya.

Laporan itu menyebut United perlu menjual pemainnya dengan 10 pemain difahamkan sudah disasarkan untuk dijual.

Antara mereka adalah Jesse Lingard, Anthony Martial, Phil Jones dan Diogo Dalot.

Andreas Pereira, Daniel James, Alex Telles, Axel Tuanzebe dan Brandon Williams juga dipercayai dalam senarai untuk dijual.

United juga dikatakan mahu menjual pemenang Piala Dunia, Paul Pogba yang masih berbaki kontrak setahun di Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 11:58 AM