BERNAMA

Kuala Lumpur: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan membuat undian semula Piala Asia AFC B-23 Uzbekistan 2022 selepas Korea Utara menarik diri daripada pertandingan itu.

AFC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perbezaan dalam jumlah pasukan di pelbagai kumpulan Piala Asia AFC B-23 Uzbekistan 2022️ Kelayakan Zon Timur kini telah mencapai lebih daripada satu, dengan hanya Jepun dan Kemboja baki dalam Kumpulan K.

Oleh itu, untuk mengekalkan keseimbangan bilangan pasukan di semua kumpulan, AFC akan menjalankan undian untuk memindahkan satu pasukan dari Kumpulan G ke J, yang akan ditempatkan dalam Kumpulan K, yang akan dijalankan secara maya pada 11 Ogos.

"Undian baharu itu akan mengandungi satu balang terdiri daripada semua pasukan dari Kumpulan G hingga J, kecuali pasukan di kedudukan salah satu kumpulan masing-masing dan pasukan tuan rumah agar tidak menjejaskan keseimbangan dan pengaturan tuan rumah yang sudah ada, berikutan undian telah dilakukan pada 9 Julai," katanya.

Lapan pasukan berikut akan terbabit dalam undian iaitu China dan Brunei dalam Kumpulan G; Timor-Leste dan Filipina (Kumpulan H); Myanmar dan Hong Kong (Kumpulan I); serta Malaysia dan Laos (Kumpulan J).

Jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Brad Maloney membawa pasukan negara bertanding di Piala Asia AFC B-23. FOTO File NSTP
Jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Brad Maloney membawa pasukan negara bertanding di Piala Asia AFC B-23. FOTO File NSTP

AFC berkata pasukan pertama yang diundi akan dipindahkan ke kedudukan satu dalam Kumpulan K untuk menggantikan Korea Utara.

"Kumpulan K akan mempunyai tiga pasukan dan satu kumpulan dari G hingga J akan dikurangkan daripada empat menjadi tiga pasukan," menurutnya lagi.

Bagaimanapun, keputusan seri Kelayakan Piala Asia Wanita AFC India 2022 yang dijalankan pada 24 Jun kekal tidak berubah dengan Kumpulan C yang kini terdiri daripada tiga pasukan - Indonesia, Iraq dan Singapura, susulan penarikan Korea Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 9:44 PM