Pemain JDT, Mohamadou Sumareh (kiri) dicabar pemain Selangor dalam aksi Liga Super. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Pemain JDT, Mohamadou Sumareh (kiri) dicabar pemain Selangor dalam aksi Liga Super. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Gelaran 'Raja Malaya' menjadi milik Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila merakam kemenangan mudah 3-1 ke atas Selangor FC dalam aksi Liga Super, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ, di Kelana Jaya, sebentar tadi.

Aksi membabitkan kedua-dua pasukan itu sememangnya menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tempatan setiap musim.

JDT yang tampil dengan rekod tujuh kejuaraan Liga Super yang diraih berturut-turut sejak 2014 sehingga musim lalu, sering dibayangi akan kehebatan silam Selangor yang gah dengan 33 kali kejuaraan Piala Malaysia.

Red Giant yang berjaya mengikat Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim 1-1 pada aksi pusingan pertama sebelum ini bagaimanapun gagal mengulanginya di Kelana Jaya.

Aksi berhati-hati diperagakan kedua-dua pasukan pada awal permainan yang menyaksikan tiada sebarang percubaan tepat dilakukan sama ada pemain tuan rumah mahupun pelawat.

Begitupun, Selangor hampir di depan pada minit ke-36 namun percubaan Oliver Buff sempat dihalang pertahanan pelawat selepas tonggak import dari Switzerland itu menyambut gerakan solo Ifedayo Olusegun di sebelah kanan.

JDT yang menundukkan UiTM FC 3-1 Ahad lalu, akhirnya memecah kebuntuan di hujung babak pertama hasil tandukan Bergson da Silva yang memanfaatkan hantaran silang Matthew Davies.

Ketinggalan 1-0 tidak mematahkan semangat tuan rumah apabila tampil dengan aksi lebih kemas pada separuh masa kedua bagi memburu jaringan.

Ifedayo yang mendahului senarai penjaring terbanyak liga berjaya menyamakan kedudukan di minit ke-61, sekali gus menghimpun 14 gol secara keseluruhan musim ini.

Gol itu nyata menyentap ego pelawat yang kemudiannya menyerang bertubi-tubi dan hasilnya Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh mencetak gol kedua dan ketiga di 10 minit terakhir buat meranapkan harapan anak buah Karsten Neitzel.

Kejayaan JDT itu menyaksikan mereka berjaya melebarkan kedudukan di tangga teratas liga dengan 36 mata manakala Selangor kekal di pertengahan liga dengan 20 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 11:17 PM