BARISAN pemain JDT menjalani latihan bagi persiapan menentang Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
BARISAN pemain JDT menjalani latihan bagi persiapan menentang Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim ambil pendekatan berwaspada apabila berdepan Selangor FC pada aksi Liga Super di di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

Malah pengendali JDT, Benjamin Mora mengakui tugas rumit bakal menanti tatkala beraksi di gelanggang lawan yang pasti akan mendapat tentangan sengit daripada skuad kendalian Karsten Neitzel.

Bagaimanapun barisan pemain JDT tampak bersedia untuk meneruskan momentum kemenangan.

"Menentang Selangor FC, sudah tentu saya inginkan kemenangan dan bermain dengan corak permainan yang lebih konsisten selain pemain yang diturunkan nanti tampil dengan lebih agresif dan mengikut arahan taktikal yang dirancang.

"Pemain perlu fokus apabila beraksi di padang dan ia penting untuk tampil dengan prestasi yang lebih baik dan itu yang saya harapkan. Dari situ baru saya dapat nilai kerana saya tidak bimbang dengan prestasi Selangor FC.

"Saya tidak terlalu risaukan Selangor FC, saya risau akan JDT, saya risaukan permainan JDT, sebabnya jika JDT melakukan tugasnya secara 100 peratus ia akan menjadi sangat sukar untuk pasukan lawan mendapatkan peluang tapi jika kami tidak fokus dan memberikan peluang, mereka akan hukum kami," katanya.

Pada pertembungan pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim 17 Mac lalu, JDT hanya mampu seri 1-1 dengan skuad The Red Giants dan aksi kedua dilihat menarik tatkala JDT mahu terus melebarkan rekod kemenangan untuk kekal di tangga teratas.

Tegas Mora lagi, aksi 90 minit perlawanan pasti menarik kerana bukan sahaja JDT mahukan kemenangan malah Selangor FC juga mahu berazam untuk bangkit selepas mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Kuala Lumpur FC.

Katanya, JDT tidak boleh ambil sikap mudah kerana Selangor FC adalah pasukan yang bagus walaupun pasukan itu berada di tangga kelima tapi mereka menunjukkan semangat untuk melawan bagi merebut kejuaraan liga.

Beliau menambah, saingan pada musim ini jelas sengit tatkala Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC dan Penang FC sudah mula mempamerkan aksi mantap dan JDT tidak boleh silap percaturan dan keciciran mata.

"Setiap perlawanan yang kami harungi tetap sukar dan ia cabaran buat JDT dan saya tidak nafikan Selangor FC menjadi lawan yang sukar pada aksi pusingan kedua apabila kami beraksi di tempat mereka," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 12:58 PM