LUKAKU tonggak penting Inter. FOTO AFP
LUKAKU tonggak penting Inter. FOTO AFP
AFP

Milan: Romelu Lukaku memberi amaran bahawa juara Serie A, Inter Milan mahu meraih lebih banyak kejayaan pada musim baharu selepas penyerang Belgium itu kembali menyertai sesi latihan pra musim.

Inter menamatkan penantian selama 11 tahun untuk memenangi kejuaraan Serie A dengan menewaskan juara sembilan kali, Juventus namun terkandas di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara yang pernah dimenangi mereka sebanyak tiga kali.

"Kami berharap dapat melakukan yang terbaik dan meraih lebih banyak kejayaan berbanding musim lalu," kata Lukaku kepada Inter TV.

Lukaku menjaringkan 24 gol pada kempen Serie A, hanya tewas kepada bintang Juventus, Cristiano Ronaldo yang meraih 29 gol.

Pemain bintang berusia 28 tahun itu menjadi tonggak utama Inter sejak berhijrah dari Manchester United, iaitu selepas ketibaan Antonio Conte pada 2019 dan sudah meledak 64 gol sepanjang 95 penampilan bersama kelab.

Conte kemudian digantikan bekas bos Lazio, Simone Inzaghi yang pernah melatih adik Lukaku, Jordan.

"Kami sempat berbual pada hari beliau diumumkan menjadi jurulatih baharu dan kami juga pernah bercakap mengenainya ketika saya beraksi di Euro," kata Lukaku.

"Adik saya juga banyak berkongsi cerita mengenainya. Dia adalah seorang jurulatih yang baik. Saya rasa dia banyak membantu pasukan. Kami berharap dapat menjalinkan kerjasama untuk meneruskan aksi cemerlang."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 10:42 AM