PEMAIN Selangor FC, Hein Htet Aung (kanan) diasak pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco (kiri) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
PEMAIN Selangor FC, Hein Htet Aung (kanan) diasak pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco (kiri) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC berjaya bangkit daripada ketinggalan apabila mengikat Kuala Lumpur City (KL City) 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Kejayaan memungut satu mata itu mengulangi aksi di pusingan pertama sebelum ini yang menyaksikan kedua-dua musuh jiran tetangga itu seri 1-1 di Kelana Jaya pada 13 Mac lalu.

Malah, ia juga menyaksikan status 'Raja' Lembah Klang tidak menjadi milik mana-mana pasukan musim ini.

Dalam aksi itu, persembahan kedua-dua pasukan cukup hambar sepanjang 30 minit awal babak pertama apabila bola banyak berlegar di tengah padang.

Bagaimanapun tuan rumah terlebih dulu memecah kebuntuan menerusi sepakan percuma cantik yang diambil oleh ketua pasukan, Paulo Josue pada minit ke-40 untuk meletakkan KL City di depan dengan 1-0.

Pelawat hanya memerlukan tiga minit untuk memadamkan kelebihan skuad Warga Kota apabila pemain import dari Switzerland, Oliver Buff memanfaatkan situasi kelam kabut untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Karsten Neitzel tampil lebih meyakinkan apabila menguasai perlawanan.

Pendahulu senarai penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun hampir mencetak gol kedua namun percubaannya sedikit lemah sekaligus mudah buat Kevin Ray Mendoza menangkap bola pada minit ke-63.

KL City turut berpeluang meledak gol pada minit ke-66 tetapi rembatan leret Kyrian Nwabueze sempat dihalang Khairulazhan Khalid yang menggunakan kakinya untuk menyelamatkan gawang.

Ifedayo seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila mensia-siakan peluang keemasan di hujung perlawanan apabila gagal menolak bola ketika gawang sudah pun terbuka luas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 11:18 PM