PERLAWANAN Kedah dengan Penang FC terpaksa ditunda bagi membolehkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah untuk membuat semakan. FOTO Ihsan MFL
PERLAWANAN Kedah dengan Penang FC terpaksa ditunda bagi membolehkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah untuk membuat semakan. FOTO Ihsan MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua pemain pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) disahkan dijangkiti Covid-19 selepas balik daripada cuti rehat Hari Raya Aidiladha pada Selasa lalu.

Susulan itu, aksi Liga Super membabitkan KDA FC dan Penang FC di Stadium Darul Aman pada malam esok terpaksa ditunda ke satu tarikh yang baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan menunda perlawanan berkenaan perlu selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

"Pihak MFL dimaklumkan oleh pihak pengurusan Kedah bahawa dua pemain disahkan positif Covid-19 menerusi ujian PCR yang dilakukan ke atas pemain ketika pemain ingin mendaftar masuk semula ke dalam 'Camp Based Training' selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

"Ujian ini adalah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MFL kepada semua pasukan untuk pemain memulakan 'Camp Based Training' bagi menjaga Gelembung Sukan.

"Justeru, perlawanan Kedah dengan Penang FC terpaksa ditunda bagi membolehkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah untuk membuat semakan mengenai status semua pemain-pemain serta pegawai Kedah terlebih dahulu.

"Kedua-dua pemain berkenaan dikesan positif Covid-19 ketika tidak bersama pasukan dan bukan berada di dalam gelembung sukan.

"Di sini pihak pengurusan Kedah mematuhi SOP yang ditetapkan dengan melakukan ujian ke atas pemain untuk mengesan kes lebih awal," katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Jelas Ghani, tarikh baharu perlawanan berkenaan akan dimaklumkan kelak dan berharap agar semua pemain dan pegawai terus meningkatkan pematuhan SOP bagi menjaga Gelembung Sukan demi kelancaran Liga Malaysia 2021.

"Saya berharap semua pemain dan pegawai tidak leka dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerana ini penting untuk melindungi diri dan orang sekeliling daripada dijangkiti Covid-19.

"Liga Malaysia akan kembali bersambung pada esok 24 Julai 2021 dan diharap agar semua pasukan lebih berhati-hati dengan wabak ini demi kelangsungan saingan musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 8:36 PM