Andros Townsend sertai Everton dari Palace. FOTO Agensi
Andros Townsend sertai Everton dari Palace. FOTO Agensi
AFP

London: Everton menandatangani bekas pemain sayap England, Andros Townsend menerusi perjanjian dua tahun umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Townsend, 30, pemain bebas selepas kontraknya bersama Crystal Palace tamat pada hujung musim lalu.

Perpindahan ke Merseyside akan menyaksikan Townsend kembali bergandingan dengan pengurus baru Toffees, Rafael Benitez, selepas pernah beraksi di bawah bimbingan pengendali dari Sepanyol itu ketika di Newcastle.

"Saya fikir semua orang tahu kelab Everton," kata Townsend dalam satu kenyataan.

"Sebuah kelab yang berpengaruh, mempunyai cita-cita, kelab yang cuba untuk kembali di tempat mereka yang sepatutnya iaitu Eropah dan seterusnya. Saya akan melakukan semua yang termampu untuk membantu kelab menyempurnakannya."

Perlantikan Benitez mendapat tentangan peminat Everton yang sebelum ini pernah membimbing seteru setempat Liverpool.

Townsend, bagaimanapun, berkata: "Rafa sangat berpengalaman. Dia melakukan banyak kerja mengenai aspek taktikal di padang latihan, dia mahir dalam kerjanya.

"Tetapi yang paling penting, dia seorang lelaki yang hebat, seorang pengurus yang baik dan dia sentiasa bercakap dengan anda. Saya pasti dia boleh berjaya di kelab ini.

Townsend mempunyai 13 kap penampilan bersama England ketika beraksi bersama Tottenham.

Dia menyertai Newcastle pada 2016 tetapi berpindah ke Palace selepas Magpies tergelincir daripada saingan EPL setahun kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 7:54 AM