GRAY hanya beraksi 10 perlawanan di Bundesliga selepas dilepaskan Leicester Januari lalu. FOTO Agensi
GRAY hanya beraksi 10 perlawanan di Bundesliga selepas dilepaskan Leicester Januari lalu. FOTO Agensi
Agensi

London: Bekas pemain sayap Leicester City, Demarai Gray dilihat bersedia untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menyertai Everton.

Gray yang menjadi sebahagian daripada skuad juara EPL 2016 bersama Leicester, dijual kepada kelab Jerman, Bayer Leverkusen Januari lalu selepas gagal menari perhatian Brendan Rodgers.

Pemain berusia 25 tahun itu melakukan 10 penampilan di Bundesliga bersama Leverkusen, dengan meledak satu jaringan dan dua hantaran menghasilkan gol.

Gray menandatangani kontrak sehingga Jun 2022 namun sekarang ini dikaitkan dengan pasukan bimbingan Rafa Benitez di Goodison Park.

Paul Joyce dari The Times berkongsi di Twitter bahawa Everton semakin hampir untuk mendapatkan Gray dan seorang lagi pemain sayap, Andros Townsend.

Sementara itu, Leicester pula dijangka cuba untuk mendapatkan pemain Bournemouth, Arnaut Danjuma.

The Cherries dilihat cuba untuk mengurangkan beban kewangan mereka selepas mereka gagal menempatkan diri dalam saingan EPL, dengan Danjuma menjadi salah seorang pemain yang akan dilepaskan.

Leicester dikaitkan dengan pemain berusia 24 tahun itu, yang meledakkan 15 gol dalam 33 aksi Liga Kejuaraan musim lalu.

Leicester sekarang ini sudah mendapatkan penyerang, Patson Daka, pemain tengah, Boubakary Soumare dan pertahanan kiri, Ryan Bertrand.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 1:56 PM