AFP

London: Pengurus Tottenham Nuno Espirito Santo memberi amaran kepada kelab yang berminat mendapatkan Harry Kane ketika masa depan kapten England itu masih menjadi tanda tanya.

Kane dilaporkan mahu meninggalkan Spurs pada musim panas ini dalam misi meraih trofi pertama dalam kariernya.

Walaupun Kane memenangi Kasut Emas Liga Perdana musim lalu, Spurs gagal layak ke Liga Juara-Juara untuk dua musim berturut-turut.

Dengan kegagalan England pada final Euro 2020 selepas tewas kepada Itali bermakna pemain berusia 27 tahun itu terus kemarau kejuaraaan utama dalam karier bersama kelab dan negaranya.

Juara Liga Perdana Manchester City dikaitkan dengan Kane bagi menggantikan penjaring terbanyak mereka Sergio Aguero yang berpindah ke Barcelona menerusi perpindahan percuma.

Tetapi bekas pengurus Wolves, Nuno yang menggantikan Jose Mourinho menjangkakan pemain paling bernilai mereka akan kembali Tottenham untuk sesi latihan pramusim selepas pulang bercuti.

"Harry pemain kami. Tak perlu bercakap perkara lain,'' kata jurulatih dari Portugal itu yang akhirnya dilantik pada 30 Jun selepas dua bulan pemecatan Mourinho.

"Sekarang saat untuk Harry memulihkan semula tenaganya dan apabila dia tiba kami ada masa bercakap dan berbual dengan baik.

"Saya tak sabar melihat dia menyertai kami. Saya gembira bekerja dengan semua pemain. Harry antara pemain terbaik dunia. Itu sahaja yang saya dapat perkatakan.''

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 10:33 PM