PENYOKONG England berlegar di luar Stadium Wembley. FOTO AFP
PENYOKONG England berlegar di luar Stadium Wembley. FOTO AFP
Agensi

London: Petisyen mendesak cuti peristiwa jika England memenangi Euro 2020 sehingga kini sudah mengumpul lebih 300,000 tandatangan.

Individu yang mencetuskan idea itu bermula semalam, Lee Jones berpendapat adalah sesuatu yang 'bermanfaat dan masuk akal' untuk negara itu bercuti sehari.

Sejak itu, beratus ribu individu menambah nama mereka manakala Perdana Menteri Britain, Boris Johnson enggan memberi kata putus berhubung cadangan berkenaan.

Bagaimanapun difahamkan sudah ada cadangan untuk cuti kebangsaan bagi membolehkan penyokong meraikan kejayaan Three Lions.

Difahamkan cuti berkenaan akan jatuh pada Ogos.

Johnson mengesa majikan untuk lebih bertolak ansur kepada pekerja mereka yang masuk lewat ke tempat kerja kerana menyaksikan aksi final.

Sekitar lapan juta penyokong setia England mengambil cuti semata-mata mahu menyaksikan aksi final bertemu Itali awal pagi Isnin.

Pakar sumber manusia dan kesatuan sekerja turut meminta majikan membenarkan pekerja mereka mengambil cuti keesokan harinya bagi mengelak kes mengambil cuti sakit di saat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 11:58 AM