ONG KIM Swee. FOTO Azhar Ramli
ONG KIM Swee. FOTO Azhar Ramli
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah berani apabila memutuskan untuk menghantar skuad bawah 20 (B-20) tahun bagi mengharungi kempen Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 yang berlangsung di Mongolia pada Oktober ini.

Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berkata, langkah berkenaan diambil seiring dengan program jangka panjang bagi menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis yang mana barisan pemain yang perlu dipersiapkan ke arah itu adalah dari skuad B-20 ketika ini.

"Keputusan ini sudah pun dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum ini dan seterusnya mendapat persetujuan dan kelulusan daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM.

"Kelompok pemain ini (berusia 20 tahun dan ke bawah) akan kita sediakan lebih awal bermula tahun ini bagi menghadapi dua kitaran pusingan kelayakan iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada Oktober ini dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada tahun 2023, selain dua edisi Sukan SEA iaitu di Vietnam dan di Kemboja pada 2023.

"Jadi kelompok pemain ini akan diberikan lebih banyak pendedahan dan persiapan jangka panjang yang lebih awal bagi kempen kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 itu termasuk beraksi pada Kelayakan Piala Asia B-23 2022 ini serta kejohanan-kejohanan lain bagi peringkat usia B-22 atau B-23 yang akan datang," katanya.

Malah katanya, skuad ini juga akan dibimbing oleh Brad Maloney bagi menghadapi saingan kelayakan itu di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama Thailand, Laos dan Mongolia.

"Bagi undian kali ini, bukan bermakna laluan mudah dalam Kumpulan J ini kerana kita kena faham yang kita menghantar skuad B-20. Apa yang lebih penting, pendedahan kepada para pemain ini untuk mereka dipersiapkan menjelang saingan kelayakan seterusnya pada 2023.

"Kita akan bertemu Laos pada perlawanan pertama yang mana mereka adalah lawan biasa kita dalam kejohanan di Asia Tenggara. Tapi tak boleh ambil mudah kerana mereka menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

"Perlawanan kedua, Mongolia. Sudah tentu juga bukan perlawanan yang mudah kerana kita tahu mereka berkelebihan selaku pasukan tuan rumah manakala perlawanan ketiga, Thailand adalah musuh tradisi kita dan juga pencabar utama.

"Jadi kita perlu bersiap sedia dengan persiapan yang lebih baik untuk layak ke pusingan akhir dan jika berjaya layak, ia satu bonus untuk para pemain skuad B-20 ini didedahkan dengan kejohanan yang lebih tinggi sebelum kita ke kelayakan seterusnya pada 2023.

"Mengenai persiapan pasukan menjelang saingan kelayakan pada Oktober ini, sudah tentu Brad (Maloney) mempunyai perancangannya yang mana beliau akan mengumpulkan para pemain bagi kem latihan pusat pada jendela Fifa yang akan datang ini," katanya.

Untuk rekod, skuad negara pernah melakar sejarah manis di pusingan akhir pada 2018 apabila mara hingga ke suku akhir sebelum tewas kepada Korea Selatan dengan 2-1.

Bagaimanapun, kecemerlangan itu gagal diteruskan pada kelayakan edisi dua tahun lalu apabila tidak berjaya melepasi pusingan kelayakan selepas sekadar menamatkan kempen di tangga kedua di belakang China.

Berdasarkan format, juara dari 11 kumpulan kelayakan akan mara secara automatik ke pusingan akhir tahun depan, manakala empat naib juara terbaik turut akan layak bagi melengkapkan 16 pasukan di Tashkent, Uzbekistan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 6:19 PM