SOUTHGATE berjaya buktikan tidak perlu pemain bintang untuk berjaya. FOTO AFP
SOUTHGATE berjaya buktikan tidak perlu pemain bintang untuk berjaya. FOTO AFP
AFP

London: Lima tahun selepas Gareth Southgate dilantik untuk menjadi jurulatih England menggantikan Sam Allardyce yang hanya sempat membimbing pasukan selama 67 hari, Three Lions berjaya mara ke perlawanan akhir kejohanan utama mengakhiri penantian 55 tahun.

Southgate pada awalnya hanyalah dilantik menjadi jurulatih sementara sebelum berjaya meyakinkan Persatuan Bolasepak England (FA) bagi menggantikan Allardyce yang dituduh melakukan penyelewengan.

Tiga tahun bersama Middlesbrough, yang berakhir dengan penyingkiran pasukan berkenaan dari Liga Perdana Inggeris (EPL) dan beberapa keputusan naik turun bersama skuad bawah 21 tahun, itulah pengalaman yang ada pada Southgate selaku jurulatih.

Selepas itu dia berjaya membawa England mara ke separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama selepas 28 tahun di Russia dan sekarang berada di landasan terbaik untuk mencatat sejarah yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana jurulatih sebelum ini iaitu juara Euro.

Selama empat dekad jurulatih England sebelum ini mengikut kehendak media dan peminat untuk membariskan pemain berbakat dan terkenal dalam kesebelasan utama, dengan sanggup merosakkan keseluruhan struktur pasukan.

Paul Scholes sampai bersara dari bola sepak antarabangsa kerana tersekat di posisi sayap kiri untuk memberi ruang buat Frank Lampard dan Steven Gerrard iaitu generasi emas yang gagal membawa pasukan melepasi suku akhir di kejohanan utama di bawah bimbingan Sven Goran Eriksson pada 2002, 2004 dan 2006.

Ia berbeza dengan Southgate yang lebih senang meletakkan pemain berbakat di bahagian serangan di bangku simpanan.

Dengan menggunakan ketua pasukan Harry Kane dan Raheem Sterling sebagai senjata serangan paling dipercayai, hanya satu tempat saja perlu direbut oleh pemain seperti, Bukayo Saka, Jack Grealish, Phil Foden, Jadon Sancho dan Marcus Rashford.

Pemain pilihan peminat, Grealish terpaksa berdepan situasi menghinakan selepas beraksi selama 36 minit sebagai pemain gantian sebelum dikeluarkan pada masa tambahan ketika England mencatat kemenangan ke atas Denmark di separuh akhr.

"Ada sisi buruk mengenai Gareth dan beliau melakukan keputusan tepat jika dirasakan perlu," kata bekas ketua pasukan England, Alan Shearer.

"Saya mengikuti apa yang dilakukan FA secara strategik dan terutama bagaimana Gareth memimpin pasukan ini selama beberapa tahun sekarang.

"Bagaimana beliau mempersembahkan dan berkomunikasi sangat luar biasa. Tahniah Gareth, saya rasa anda melakukan tugas dengan hebat dalam pekerjaan yang sukar," kata jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand,

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 12:43 PM