MESSI bersama skuad Argentina dalam saingan Copa America. FOTO AFP
MESSI bersama skuad Argentina dalam saingan Copa America. FOTO AFP
Agensi

Sepanyol: Presiden LaLiga, Javier Tebas berkata Manchester City atau Paris Saint-Germain akan berdepan masalah tanpa 'doping kewangan' (tanpa bantuan yang kukuh) jika mereka berhasrat membeli Lionel Messi dengan syarat perjanjian yang sama dengan perjanjian Barcelona sebelum ini.

Kapten Argentina, Messi kini ejen bebas selepas kontraknya dengan Barca tamat pada penghujung Jun.

Pemenang anugerah enam kali Ballon d'Or dikaitkan dengan City dan PSG sebelum ini, biarpun dia dijangka akan tetap bersama Blaugrana biarpun menghadapi masalah kewangan.

Tebas tidak melihat mana-mana kelab mampu untuk menawarkan Messi dengan syarat yang dia inginkan yang mana kontrak terakhirnya dilaporkan mencecah 500 juta euro (RM2,479 juta) selama empat tahun.

Ditanya adakah Messi akan berdepan dengan potongan gaji jika dia terus kekal di Barca Tebas berkata: "Tepat sekali, Dia tidak akan dapat menandatangani syarat yang sama seperti sebelum ini. Itu adalah mustahil.

"Tapi saya tidak fikir mana-mana kelab Eropah mampu untuk membayar dia jumlah itu."

Tebas berkata: "City kehilangan 270 juta euro (RM1,338 juta) (kerana pandemik Covid-19) jadi jelas sekali mereka tidak akan mempertimbangkan untuk menandatangani Messi (dengan syarat yang sama seperti sebelum ini).

"PSG juga mengalami kerugian, jadi mereka juga tidak mungkin dapat mempertimbangkan untuk mengikat Messi.

"Sekiranya mereka melakukannya, ia akan berdepan dengan masalah kewangan yang tidak kukuh. Satu yang luar biasa jika berlaku. Kita perlu menetapkan had. Doping kewangan merosakkan bola sepak.

"Ia bukan wang sebenar kerana tidak dihasilkan oleh kelab. Wang bukan dari bola sepak menyebabkan inflasi buruk dan merosakkan bola sepak kerana kelab perlu melakukan segala usaha (untuk bersaing), untuk melebihi kemampuan kewangan mereka.

"Kita perlu melawan perkara itu. Ini adalah satu masalah yang belum selesai dalam bola sepak Eropah. Sekiranya tidak dapat diselesaikan, permainan ini akan berada dalam situasi yang sangat rumit."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 9:56 AM