JURULATIH England, Gareth Southgate (kiri) menenangkan Jack Grealish selepas dikeluarkan pada perlawanan separuh akhir menentang Denmark, semalam. FOTO AFP
JURULATIH England, Gareth Southgate (kiri) menenangkan Jack Grealish selepas dikeluarkan pada perlawanan separuh akhir menentang Denmark, semalam. FOTO AFP
Agensi

London: Penyokong riuh bersorak menuntut untuk menyaksikan lebih banyak penampilan Jack Grealish di Euro 2020.

Tetapi, pemain itu sendiri hanya fokus kepada satu perkara iaitu muncul juara kejohanan.

Suasana di Wembley gamat dengan keseronokan apabila kapten Aston Villa itu dimasukkan pada minit ke-68 ketika menang 2-1 ke atas Denmark di separuh akhir.

Tetapi, dia hanya berada 36 minit di padang, sebelum ketua jurulatih, Gareth Southgate mengorbankannya dan memasukkan pemain lebih bertahan, Kieran Trippier ketika England mendahului.

Ramai pemain mungkin tergamam dan mengamuk dengan insiden seperti itu.

Bagaimanapun, Grealish kekal tenang kerana yang penting baginya adalah kemenangan pasukan.

Seperti dilaporkan the Independent, Southgate pergi ke arah Grealish untuk memberi penjelasan mengenai perkara itu selepas wisel penamat.

Bagaimanapun, pemain tengah berusia 25 tahun itu menyatakan: "Gaffer, tiada masalah. Ia tidak mengganggu saya. Kita sudah layak ke final!".

Southgate, 50, memberi penjelasan kepada talkSPORT, dengan menyatakan: "Jack membawa pengaruh penting kepada permainan.

"Tetapi, selepas ketinggalan, Denmark menurunkan empat pemain serangan dan kami perlu lima pemain untuk bertahan.

"Raheem [Sterling] kekal menjadi ancaman kepada lawan, jadi sama ada Phil [Foden] atau Jack terpaksa dikeluarkan.

"Kami tetap perlu bertahan di tengah padang. Kami akan ke bawah dalam lima minit atau lebih. Kami perlu mengawal bola, apabila menguasai bola, kebimbangan semakin kurang."

Selepas perlawanan, Grealish meniuis di Instagram: "Saya sayangkan pasukan ini. Malam yang indah di Wembley! Tinggal satu lagi perlawanan."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 1:03 AM