SALAH tonggak utama Liverpool. FOTO EPA
SALAH tonggak utama Liverpool. FOTO EPA
Agensi

London: Liverpool enggan melepaskan Mohamed Salah daripada beraksi di Sukan Olimpik, menurut Persatuan Bolasepak (FA) Mesir.

Temasya sukan terbesar dunia itu dijadual berlangsung bulan ini di Tokyo, setahun selepas tertangguh dan bintang Reds itu dilaporkan mahu mewakili skuad kebangsaannya di Olimpik.

Bagaimanapun, kelab tidak dipaksa untuk melepaskan pemain mereka kerana Olimpik tidak berada dalam kalendar rasmi FIFA sekali gus menyaksikan Liverpool menolak permohonan Mesir untuk menggunakan khidmat Salah.

Jurulatih Mesir, Shawky Gharib mendakwa dia sudah beberapa kali meminta kebenaran daripada kelab Liga Perdana itu untuk melepaskan Salah.

"Saya sudah mencuba banyak kali dengan Liverpool sama seperti yang dilakukan oleh pihak persatuan tetapi mereka menolaknya," katanya seperti dilaporkan oleh BBC.

"Salah mahu beraksi di Olimpik Tokyo 2020. Dia ada bercakap mengenainya dengan saya dan kami cuba sebaik mungkin untuk mendapatkannya.

"Salah adalah pemain utama dalam perancangan saya di Olimpik. Tapi kelab menolaknya dan kami perlu melupakannya," katanya.

Temasya itu dijangka tamat pada 7 Ogos, seminggu sebelum bermulanya Liga Perdana.

Galatasaray turut enggan melepaskan seorang lagi bintang Mesir, Mostafa Mohamed sekali gus satu lagi tamparan untuk Gharib menjelang aksi peringkat kumpulan Olimpik bertemu Argentina, Sepanyol dan Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 12:29 PM