PEMAIN Sepanyol meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Euro 2020 selepas menewaskan Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti, malam tadi. FOTO AFP
PEMAIN Sepanyol meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Euro 2020 selepas menewaskan Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti, malam tadi. FOTO AFP
Agensi

London: Sepanyol layak ke separuh akhir Euro 2020, tetapi tidak banyak mampu dibanggakan.

Mereka memerlukan jaringan gol sendiri dan sepakan penalti penentuan untuk menewaskan Switzerland di suku akhir, semalam, selepas bergelut dengan Croatia di pusingan kedua.

Sepanyol mungkin memiliki jaringan terbanyak di kejohanan ini, tetapi mungkinkah sentuhan penyudah kurang tajam mampu menjejaskan mereka?

Lima daripada 12 gol mereka dijaringkan ketika menewaskan Slovakia di peringkat kumpulan dan mereka bermain lebih lama berbanding pasukan lain masih tinggal di kejohanan ini, apabila dua kali diheret ke masa tambahan.

Malah, dalam tiga perlawanan lain, mereka hanya menjaringkan satu gol pada setiap perlawanan.

Ketika menentang Switzerland di suku akhir semalam, anak buah Luis Enrique melakukan 28 percubaan termasuk 10 tepat ke sasaran, tetapi semuanya dibazirkan dan penjaga gol, Unai Simon dipilih pemain terbaik perlawanan.

Sepanyol melakukan 69 kali serangan melebihi pasukan lain di kejohanan ini, termasuk 235 serangan mengatasi England - selain jumlah sepakan penjuru paling banyak.

Tetapi, mereka berdepan kesukaran apabila banyak peluang di depan gol gagal disudahkan. Adakah pembaziran itu akan memberi kesan kepada mereka?

Penyerang Atletico Madrid, Alvaro Morata mengetuai jentera serangan, tetapi dia menjadi mangsa kritikan hebat kerana gagal menyempurnakan peluang sehingga keluarganya turut dihina.

Dia gagal menyerlah di suku akhir di St Petersburg dan menjadi pemain pertama dikeluarkan dan digantikan dengan Gerard Moreno.

Moreno yang mewakili Villarreal menjaringkan 23 gol dalam 33 penampilan liga musim ini dan melakukan enam percubaan sebaik dimasukkan, tetapi tetap gagal menjaringkan gol termasuk beberapa peluang terbuka pada masa tambahan.

Hanya penyerang Perancis, Kylian Mbappe memiliki 14 percubaan tetapi gagal menjaringkan gol.

"Pelajaran hari ini menyatakan anda perlu bernasib baik," kata pakar bola sepak Sepanyol, Guillem Balague.

"Apabila kami bolos, saya fikir kami melakukan hanya satu percubaan sepanjang perlawanan. Kami jelas tidak memiliki sentuhan penyudah."

Sepanyol menyempurnakan 3,856 hantaran setakat ini, iaitu 1,515 lebih daripada pasukan lain, tetapi Balague percaya, kurang kreativiti akan turut menjejaskan pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 10:56 PM