PERU mahu ulangi pencapaian mara ke perlawanan akhir Copa America seperti 2019. FOTO EPA
PERU mahu ulangi pencapaian mara ke perlawanan akhir Copa America seperti 2019. FOTO EPA
Agensi

Goiania: Aksi suku akhir pertama Copa America bakal menemukan Peru dan Paraguay di Goiania awal pagi esok tatkala kedua-dua pasukan memburu slot ke suku akhir.

Peru berjaya mara selepas menduduki tempat kedua dalam kumpulan apabila meraih kemenangan pada aksi terakhir, manakala Paraguay menamatkan saingan Kumpulan A dengan menduduki tangga ketiga di belakang Argentina dan Uruguay.

Peru dijangka bersemangat untuk mengharungi aksi ini selepas perlawanan terakhir berakhir dengan kemenangan.

Pemain sayap, Andre Carrilo berjaya menggunakan peluang terhidang untuk menjaringkan gol kemenangan ke atas Venezuela seterusnya menyingkirkan lawan mereka dari kejohanan berkenaan.

Selain itu mereka juga berjaya mencatatkan kemenangan meyakinkan ke atas Colombia 2-1.

Selepas mara ke final pada edisi lalu, Los Incas terus bersemangat untuk mengulangi semula pencapaian berkenaan selepas berjaya melepasi halangan getir peringkat kumpulan dan mara ke suku akhir.

Walaupun tanpa penyerang bintang Paolo Guerrero, Peru masih lagi boleh bergantung harap kepada Gianluca Lapadula di bahagian serangan.

Bagaimanapun, kelebihan utama mereka adalah tiga pemain di belakang Lapadula, iaitu pemain sayap, Carrillo yang sudah meledak dua gol, Christian Cueva dan Sergio Pena.

Sementara itu, Yoshimar Yotun dan Renato Tapi menjadi hadangan kepada pemain lawan untuk menembusi kubu mereka.

Mereka bakal diperkuatkan semula dengan kembalinya pertahanan tengah, Christian Ramos yang digantung selepas mengutip kad kuning kedua di peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 2:38 PM