PEMAIN TFC II giat menjalani latihan secara berpusat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak. FOTO Ihsan TFC II
PEMAIN TFC II giat menjalani latihan secara berpusat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak. FOTO Ihsan TFC II
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali akur dengan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menangguhkan saingan Liga Perdana yang sepatutnya dijadualkan bersambung pada 3 Julai depan.

Bekas perancang Terengganu itu berkata, penangguhan itu membuka ruang buat pasukannya untuk memperkasakan lagi pasukan dalam misi untuk mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Kemaman berusia 45 tahun itu mengharapkan liga itu tidak 'bungkus' sebaliknya berlangsung mengikut perancangan pihak MFL yang sudah pasti mendapat nasihat daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berikutan situasi semasa wabak pandemik Covid-19.

"Sejujurnya para pemain sudah tidak sabar lagi untuk beraksi selepas lebih sebulan liga berehat, lagipun pemain juga sudah memasuki camp based traning sejak sebulan lalu dan sudah pasti begitu bersemangat.

"Di tambah pula kami mensasarkan untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana musim ini selepas mengharungi sebelas perlawanan.

"Namun kami dan para pemain perlu akur dengan penangguhan itu kerana bagi kami apa yang lebih penting keselamatan dan kesihatan semua pihak termasuk pemain dan pihak pengurusan, begitu juga para peminat," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP hari ini.

Berdasarkan rekod terkini, skuad The Turtles itu kini menghuni di tangga ketiga liga dengan mengutip 19 mata, ketinggalan empat mata dengan pendahulu, Sarawak United.

Namun lebih menarik skuad 'feeder club' Terengganu FC (TFC) itu setakat ini berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mencatat empat kemenangan dan tujuh kali seri selain merekod jumlah jaringan terbanyak dalam Liga Perdana setakat ini dengan 24 gol daripada 11 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 5:32 PM