RONALDO mengamalkan diet pemakanan yang ketat. FOTO EPA
RONALDO mengamalkan diet pemakanan yang ketat. FOTO EPA
Agensi

London: Bintang Juventus, Daouda Peeters mengesahkan Cristiano Ronaldo mengamalkan diet pemakanan yang ketat dengan banyak minum air kosong dan tidak menyentuh minuman Coca-Cola.

Menjelang aksi pembukaan Portugal bertemu Hungary di saingan Euro 2020, Ronaldo mencetuskan kontroversi apabila mengalihkan dua botol Coca-Cola di atas mejanya pada sidang media sebelum menggesa penyokong minum air kosong.

Beberapa pemain lain mengikuti jejak langkah bintang berusia 36 tahun itu termasuklah Paul Pogba yang mengalihkan botol Heineken di atas mejanya sekali gus memaksa Uefa memberi amaran kepada pasukan supaya tidak mengalihkan produk penaja atau bakal menerima hukuman.

Peeters, 22, mengesahkan Ronaldo hanya minum air kosong dan tidak minum air berkarbonat sebagai sebahagian daripada caranya untuk mengekalkan diet dan tahap kecergasan.

"Cristiano sentiasa makan menu yang sama iaitu brokoli, ayam dan nasi bersama air kosong dan tidak minum Coca-Cola.

"Dia tidak melakuakan senaman perut yang kerap kerana menganggapnya tidak terlalu berkesan.

"Cristiano tidak selalu memandang di depan cermin untuk melihat susuk tubuhnya kerana dia tidak mempunyai masa untuk itu.

"Apabila dia bersama kelab, rutin hariannya adalah berlatih. Dia sememangnya sangat fokus dengan tugasnya selaku pemain bola sepak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 6:59 AM