POGBA mengalihkan botol Heineken pada sidang media sebelum ini. FOTO Agensi
POGBA mengalihkan botol Heineken pada sidang media sebelum ini. FOTO Agensi
Agensi

London: Penganjur Euro 2020 akan menghentikan daripada meletak botol Heineken di depan pemain beragama Islam selepas Paul Pogba bertindak mengalihkan botol minuman penaja itu minggu lalu.

Bintang Perancis dan Manchester United, Pogba yang beragama Islam, mengalihkan botol berkenaan dari mejanya pada sidang media selepas Perancis mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Jerman.

Kini pasukan, pengurus dan pemain akan ditanya adakah mereka membenarkan untuk meletak botol alkohol itu di atas meja atas alasan agama.

Alkohol adalah dilarang di kalangan individu beragama Islam sepertimana yang dijelaskan di dalam kitab suci al-Quran.

Apa yang dilakukan Pogba ke atas satu daripada penaja minuman sempena kejohanan itu menyusul selepas tindakan Cristiano Ronaldo mengalihkan botol Coca-Cola sebelum aksi pertama pasukannya menentang Hungary.

Bintang bola sepak dunia itu kemudian berkata 'minum air kosong' di depan kamera.

Perubahan dapat dilihat ketika penyerang Perancis, Karim Benzema yang turut beragama Islam hadir pada sidang media selepas memenangi anugerah pemain terbaik perlawanan ketika bertemu Portugal apabila tiada botol Heineken di atas mejanya.

Namun, dia masih bercakap di hadapan iklan dengan nama penaja itu dan juga trofi individu yang ditaja Heineken.

Kesatuan Bolasepak Eropah (Uefa) sebelum ini memberi amaran pemain boleh didenda jika mereka terus mengetepikan penaja dan minuman mereka pada sesi sidang media.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 11:37 AM