SOUTHGATE (tengah) pada sesi latihan England. FOTO AFP
SOUTHGATE (tengah) pada sesi latihan England. FOTO AFP
AFP

London: Jordan Henderson berkata kebangkitan semula Gareth Southgate susulan kegagalan menyempurnakan sepakan penalti pada Euro 96 ketika bertemu Jerman menunjukkan kekuatan mental yang perlu dicontohi generasi sekarang menjelang pertembungan semula dengan seteru lama mereka itu.

Southgate, pengurus England ketika ini, berusia 25 tahun ketika dia mengambil sepakan penalti yang kemudian diselamatkan oleh Andreas Kopke ketika Jerman memenangi aksi separuh akhir Euro 96 menerusi penentuan penalti di Wembley.

Ia adalah kenangan pahit yang masih diingati penyokong England selepas cemerlang melangkah ke separuh akhir.

Southgate bangkit daripada peristiwa hitam itu apabila beraksi bersama England untuk tempoh lapan tahun lagi selain menikmati kariernya di Liga Perdana bersama Aston Villa dan Middlesbrough sebelum menjadi pengurus.

Dengan Jerman akan bertemu England di Wembley pada pusingan kedua awal pagi Rabu ini, Southgate berpeluang membalas dendam kekecewaan yang dilaluinya itu.

Henderson percaya teladan yang ditunjukkan pengurus mereka itu perlu dicontohi barisan pemain ketika ini.

"Ia contoh terbaik. Saya dapat merasakan perasaannya ketika melalui detik hitam itu," katanya pada sidang media.

"Anda perlu sentiasa bersedia berdepan situasi seperti itu. Teruskan melangkah dan cuba menjadi seorang yang lebih baik.

"Ramai di antara kita melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan. Ambil motivasi daripada kisah lalu dan cuba menjadi yang lebih baik."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 6:50 AM