BENJAMIN Mora pada sidang media. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
BENJAMIN Mora pada sidang media. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor

[email protected].

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora enggan dipalit dengan kekalahan, sebaliknya berazam bangkit apabila berdepan Ratchaburi FC pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam esok.

Bagi Mora, kekalahan skuad Harimau Selatan 0-1 kepada kelab dari Jepun, Nagoya Grampus pada aksi pertama bukan pengakhiran sebaliknya pertembungan menentang kelab dari Thailand, malam esok akan dijadikan medan terbaik untuk bangkit.

Beliau berkata, walaupun JDT pernah tewas 1-2 kepada Ratchaburi FC pada aksi pemanas badan musim 2019, namun itu cerita lama tatkala barisan pemain yang sedia ada kini lebih mantap dan bersedia mengharungi saingan kelab Asia.

"Kami tewas pada aksi pertama kepada Nagoya Grampus dan ia beri pengajaran buat setiap pemain supaya tidak leka sebaliknya bermain konsisten sehingga tamat perlawanan dan aksi seterusnya tetap sukar terutaman menentang Ratchaburi FC yang memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri.

"Saya puas hati dengan persembahan dan komitmen setiap pemain yang diturunkan dan Liga Thailand (Thai League) seakan Liga Malaysia (Liga M) cuma liga mereka tampak lebih hebat, jadi saya lihat kami mampu bersaing dengan kelab yang dibimbing Somchai Maiwilai.

"Saingan liga mereka juga tinggi tapi kami ada peluang malah kami ada lakukan kajian aksi Pohang dan Ratchaburi, jadi ada peluang yang saya nampak untuk kami cipta sesuatu namun apa yang penting setiap pemain harus mengikut perancangan taktikal seperti kami lawan Nagoya Grampus," katanya.

Mora juga menegaskan beberapa pemain yang dilayangkan kad kuning ketika aksi pertama ACL dan mereka harus lebih berhati-hati apabila berdepan Ratchaburi FC selain ada juga pemain tampak keletihan.

Katanya, proses pemulihan sudah dilakukan dan latihan terakhir akan menjadi penentu kesebelasan utama bakal diturunkan dalam usaha memburu kemenangan pertama walaupu akui bakal berdepan saingan sengit.

"Harapan saya pada aksi menentang Ratchaburi untuk menang. Tiada siapa yang datang ke sini untuk tewas. Kita hormat erti kemenangan kerana itu matlamat utama beraksi di pentas ACL.

"Tempoh 95 minit perlawanan apa saja boleh berlaku dan tanpa ragu-ragu kami akan turun dengan semangat tinggi untuk buru tiga mata pertama malah akan tingkat lagi corak permainan yang lebih ampuh," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 5:57 PM