Penyerang Belanda, Luuk de Jong. FOTO Agensi
Penyerang Belanda, Luuk de Jong. FOTO Agensi
Agensi

Amsterdam: Bintang Belanda, Luuk de Jong terpaksa disisihkan dari Euro 2020 kerana kecederaan.

Penyerang berkenaan kelihatan terbaring kesakitan ketika sesi latihan awal minggu ini susulan kekasaran dilakukan rakan sepasukan Cody Gakpo.

Dan kini disahkan bintang Sevilla itu mengalami kecederaan lutut yang menyebabkan pembabitan dalam kejohanan itu terpaksa dilupakan sehingga tamat saingan.

Bekas pemain Newcastle itu dimasukkan sebagai pemain gantian berdepan Ukraine dan Austria.

Bagaimanapun pemain berusia 30 tahun itu tidak diturunkan sebagai pemain simpanan dalam kemenangan pada aksi terakhir kumpulan ke atas Macedonia Utara.

Bos Belanda, Frank de Boer tidak dapat memanggil pemain gantian dan yang kini hanya bergantung kepada senarai 24 pemain yang dimiliki.

Sebelum ini, pemain Manchester United, Donny van de Beek juga terpaksa diketepikan susulan kecederaan panjang.

Menurut kenyataan FA Belanda menyatakan: "Luuk de Jong terpaksa meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan Belanda.

"Penyerang Sevilla itu mengalami kecederaan lutut ketika latihan pada Selasa.

"Menyebabkan pemain yang melakukan kap penampilan antarabangsa sebanyak 38 kali itu tidak dapat beraksi buat skuad Orange pada kejohanan Eropah ini."

De Boer kini terpaksa bergantung pada Wout Weghorst, Memphis Depay dan Donyell Malen bagi memburu jaringan dalam usaha mereka melakar kegemilangan di Euro.

Skuad Belanda mempamerkan aksi menakjubkan setakat ini sepanjang kejohanan selepas menduduki tempat teratas kumpulan dengan tiga kemenangan berturut-turut. Mereka kini melakukan persediaan untuk saingan kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 11:03 PM