PEMAIN tengah England, Jack Grealish memeluk Raheem Sterling selepas umpanannya disudahkan penyerang itu untuk menang 1-0 ke atas Republik Czech di Wembley, semalam. FOTO AFP
PEMAIN tengah England, Jack Grealish memeluk Raheem Sterling selepas umpanannya disudahkan penyerang itu untuk menang 1-0 ke atas Republik Czech di Wembley, semalam. FOTO AFP
Agensi

London: Jack Grealish mahu mencontohi Paul Gascoigne dan Wayne Rooney serta menikmati kejohanan untuk meningkatkan kariernya bersama England di Euro 2020.

Pemain perancang Aston Villa itu melakukan hantaran lintang yang ditanduk Raheem Sterling untuk gol kemenangan skuad bimbingan Gareth Southgate itu 1-0 ke atas Republik Czech, semalam, untuk mara ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan D.

Ia adalah persembahan memberangsangkan bagi pemain berusia 25 tahun itu selepas diturunkan dalam kesebelasan utama.

Ditanya sama ada Euro 2020 mampu melonjakkan namanya, dia berkata: "Ya, sudah tentu.

"Saya bercakap mengenai sejauh mana pentingnya kejohanan begini dalam karier pemain. Anda toleh ke belakang dan lihat Gazza di Italia '90, apabila dia sudah dikenali sebelum itu tetapi ramai mengingatinya kerana kejohanan berkenaan.

"Kemudian Wayne Rooney di Euro 2004 apabila dia meletakkan dirinya sebagai antara pemain terbaik di dunia.

"Saya berharap dapat mengikut jejak langkah mereka dan berharap dapat melakukannya sekiranya mendapat lebih banyak peluang bermain dalam kejohanan ini."

Pemain tengah itu yakin dia akan bermain cemerlang di pentas antarabangsa sekali pun tidak pernah mengecapi bola sepak peringkat Eropah bersama Villa.

"Anda semua tahu sejauh mana keyakinan saya untuk bermain cemerlang dan saya rasa sudah melakukannya menerusi umpanan disudahkan Sterling," kata Grealish.

"Saya rasa mampu mencipta lebih banyak peluang, tetapi kami perlu menang dan itu perkara utama.

"Ia sudah tentu berbeza berbanding kebiasaan. Saya tidak pernah bermain di Eropah sebelum ini, tidak pernah bermain di Liga Europa dan Liga Juara-Juara Eropah, jadi sudah tentu suasananya berbeza.

"Tetapi, inilah cabaran baru yang saya benar-benar menikmatinya. Saya sukakannya. Ia peluang menunjukkan bakat saya kepada dunia."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 9:59 PM