Pemain JDT, Safiq Rahim. FOTO File NSTP
Pemain JDT, Safiq Rahim. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Keputusan positif pada aksi pertama saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Nagoya Crampus cukup penting buat Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Rajamangala di Bangkok, Thailand, malam esok.

Tonggak tengah JDT, Safiq Rahim berkata, cabaran pertama berdepan wakil kelab dari Jepun itu bukan mudah namun sasaran untuk meraih mata dalam aksi sulung itu amat penting bagi memulakan kempen Kumpulan G dengan langkah kanan.

"Syukurlah kami dalam keadaan baik. Semua pemain kebangsaan yang beraksi di kelayakan (Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023) sudah kembali, jadi kami dapat melakukan persiapan yang terbaik menjelang sepak mula nanti.

"Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan hasil positif dari perlawanan pertama. Aksi pertama selalu penting dalam mana-mana kejohanan dan kami ingin mendapatkan keputusan baik dan memberi sepenuh komitmen.

"Nagoya Grampus adalah pasukan yang bagus, begitu juga semua pasukan dalam Kumpulan G. Yang paling penting adalah pasukan kami, bagaimana kami bersedia dan bagaimana kami bermain. Tidak ada aksi yang mudah dan kita harus berada di tahap terbaik sepanjang masa," katanya dipetik dari laman web Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Di Bangkok, anak buah Benjamin Mora diletakkan dalam Kumpulan G bersama Nagoya Grampus, Ratchaburi FC (kelab Thailand) dan FC Pohang Steelers (kelab Korea Selatan) yang akan dimainkan secara dua pusingan.

Ini adalah penampilan ketiga skuad Harimau Selatan di peringkat kumpulan ACL selepas 2019 dan 2020, namun pada tahun lalu pasukan terpaksa menarik diri ekoran larangan keluar negara susulan pandemik Covid-19.

Jelas Safiq lagi, pentas ACL adalah saingan tertinggi kelab-kelab Asia yang menjadi impiannya sejak dulu dan mengakui sudah tidak sabar membantu JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 3:26 PM